PETALING JAYA – Seorang peniaga didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah mengaku bersalah atas pertuduhan mempamerkan nombor pendaftaran palsu pada keretanya, awal bulan ini.
Majistret Mohd Nor Hafidzuddin Yusoff turut memerintahkan tertuduh, Naim Aizat Ahmad Tarmizi, 22, menjalani hukuman penjara 14 hari jika gagal membayar denda tersebut.
Naim Aizat didakwa mempamerkan nombor pendaftaran palsu iaitu WST 3992 pada kereta jenama Nissan di sebuah rumah di Jalan LEP 4/1, Taman Lestari Putra, Bandar Putra Permai, Sri Kembangan, Serdang, di sini pada jam 7 malam, 1 Nov lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 108 (3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 108(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, lelaki itu, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan atas alasan dia tidak mampu membayar denda tinggi. – BERNAMA