JOHOR BAHRU – Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini, atas dua pertuduhan memukul dua sepupunya, Ogos lepas.
Tertuduh, Khairil Azhar Kamaludin, 25, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret Azureen Sahira Saufee Afandi selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Bagi pertuduhan pertama, Khairil Azhar didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Mohd Suferi Muhamat Sahh dengan menggunakan sebatang spanar paip di luar dewan Dataran Bandaraya Johor Bahru, di sini, kira-kira 4.30 petang, 28 Ogos lepas.
Dia yang sudah berkahwin dan memiliki seorang anak berumur tiga tahun didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripadanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Khairil Azhar didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Masni Muhamat Sahh dengan menggunakan tangan, di tempat, waktu dan tarikh yang sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abdul Jalil Salam Muhamad manakala tertuduh diwakili peguam Jason Tan Ka Yan.
Mahkamah menetapkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan pertama dan RM2,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan kedua serta 27 Nov ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – BERNAMA