GUA MUSANG – Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan pentadbiran Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) masih lagi dalam keadaan kelam kabut.
Beliau yang juga Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO berkata anggota Parlimen kerajaan masih lagi bersikap seperti perangai pembangkang.
“Saya lihat mereka memerlukan masa untuk menyesuaikan diri (untuk menjadi kerajaan). Semuanya masih kelam-kabut dan rakyat tidak berpuas hati terutama membabitkan isu Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.
“Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga mengakui tidak dapat menunaikan semua janji (dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14) kerana kerajaan terpaksa menanggung perbelanjaan (kewangan) yang terlalu banyak,” katanya selepas meninjau pembinaan sebuah masjid di sini, hari ini.
Mengulas mengenai pembinaan masjid berkenaan, Tengku Razaleigh berkata masjid tersebut yang dibina dengan kos RM23 juta akan disiapkan pada Mei tahun depan dan mampu memuatkan kira-kira 4,500 jemaah pada satu-satu masa.
Beliau berkata masjid terbabit yang dibina di tanah seluas 1.2 hektar merupakan antara yang termoden di negara ini kerana turut dilengkapi dengan bilik kuliah, dewan makan, bilik mandi jenazah lelaki dan perempuan serta bilik komputer bagi petugas masjid.
Katanya rekaan masjid tersebut turut menyerupai Masjidil Haram di Makkah serta mempunyai sembilan menara. – BERNAMA