KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akhirnya mengesahkan Perak menjadi pengganti kepada Pahang sebagai wakil Malaysia beraksi di peringkat play-off Liga Juara-Juara Asia (ACL), musim depan.
Pengesahan itu sudah pasti menjadi satu berita gembira buat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) yang sebelum ini tertunggu-tunggu mengenai permohonan mereka untuk beraksi di kejohanan tertinggi peringkat Asia itu.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan penegsahan itu dibuat selepas semua permohonan pasukan Perak termasuk usaha mendapatkan lesen daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sudah diluluskan.
“AFC meminta kami mencadangkan dua pasukan mengikut kelayakan mereka dalam Liga Malaysia (Liga M) bagi menyertai ACL 2019.
“FAM mendapat dua slot untuk kejohanan itu iaitu slot automatik dan satu slot play-off. Bagi slot automatik kita hantar permohonan JDT (Johor Darul Ta’zim) dan slot play-off pula kita hantar borang pasukan Perak.
“Setakat ini dua pasukan pasukan itu sah sudah didaftarkan untuk beraksi di ACL tahun depan dan Perak pun sudah dimaklumkan mengenai perkara ini,” katanya.
Slot ke ACL pada asalnya menjadi milik Pahang selaku juara Piala FA musim ini, namun skuad Tok Gajah berdepan penggantungan dua tahun daripada memohon lesen AFC oleh FAM susulan menolak tawaran menyertai Piala AFC 2018.
Malah, Pahang tidak mengemukakan rayuan kepada FAM sekali gus slot itu menjadi milik Perak selaku naib juara Liga Super.
Selain itu, Stuart percaya JDT dan Perak mampu memberikan saingan yang baik biarpun terpaksa bersaing dengan kelab terbaik Asia.
“Impian kita untuk melihat JDT yang sudah berada di peringkat kumpulan akan mempamerkan persembahan mengikut perancangan dengan keutamaan yang diletakkan mereka untuk ACL.
“Saya harap JDT boleh pergi sejauh mana yang mereka mampu dalam kejohanan. Bagi Perak, ini pengalaman berharga buat mereka dan saya harap mereka juga akan mara hingga ke peringkat kumpulan,” katanya. – BH Online