KUALA LUMPUR – Perancangan lebih proaktif dan mampan diperlukan untuk menyediakan kediaman mampu milik yang lebih sesuai bagi isi rumah dari kumpulan B40 sebagai sebahagian daripada komponen bandar pintar.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata negara turut memerlukan golongan profesional perancang bandar yang berani membuat perubahan berlandaskan fakta dan penyelidikan yang menyeluruh.
“Perancangan pemajuan berstrata terutamanya bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) juga harus dirancang dengan baik bagi meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan juga menangani gejala sosial yang semakin mencabar.
“Pendekatan inovatif ke arah Revolusi Industri 4.0 perlu dimasukkan segera dalam perancangan bandar yang perlu melihat kepada penglibatan tekonologi yang lebih kepada data besar dan teknologi maju seperti ‘biotech’, ‘fintech’, penyelidikan lanjut dalam bidang robotik dan internet benda (IoT),” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perancangan Kebangsaan 2018 bersempena sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia di sini, hari ini.
Turut hadir Presiden Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) Ihsan Zainal Mokhtar.
Dr Wan Azizah berkata proses perancangan perlu lebih terbuka dan melibatkan pihak berkepentingan seperti golongan petani eksekutif, pembuat dasar dan rakyat yang memerlukan pembelaan.
“Di era Malaysia baharu ini, kita berpeluang untuk mencari kaedah dan metodologi yang lebih efisien dan berkesan.
“Jika terdapat cara atau proses yang menimbulkan masalah dalam pelaksanaannya, sama ada melalui prosedur dan undang-undang yang lapuk, pengemaskinian perlu dibuat dan pihak kerajaan juga bersedia menerima cadangan baharu dan membuat penilaian yang sewajarnya,” katanya.
Menurut beliau, agensi kerajaan mahupun pihak swasta tidak boleh bekerja silo dan kerjasama pintar dan pemilikan bersama perlu dijadikan moto dan kaedah dalam membuat perancangan dan pembangunan.
Sementara itu, persidangan anjuran MIP yang bertemakan Localising the New Urban Agenda : Leave No One Behind itu memfokuskan agenda perancangan bandar yang optimum sekali gus meningkatkan kerjasama antara pihak berkepentingan.
Lebih 300 peserta menyertai persidangan sehari tersebut. – BERNAMA