SHAH ALAM – Aksi berpelukan antara dua calon timbalan presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli mencuri tumpuan pada hari pertama Kongres Nasional PKR ke-13 di Ideal Convention Centre di sini hari ini.
Tindakan itu sekaligus dilihat menamatkan ‘perang saudara’ antara mereka yang terbit ekoran pertembungan dalam pemilihan PKR yang berlangsung baru-baru ini.
Sikap ‘gentlemen’ mereka itu mendapat sorakan dan tepukan gemuruh lebih 2,000 perwakilan yang berada di dalam dewan IDCC itu ketika sesi perbahasan ucapan dasar presiden oleh wakil Perlis, Tengku Nazeri Tengku Aldin.
“Saya minta ‘team Rafizi’, ‘team Azmin’ hari ini hentikanlah (pertelingkahan), masanya sudah habis,” kata Tengku Nazeri dalam ucapan perbahasan itu yang disambut dengan tepukan gemuruh perwakilan.
Ia turut disaksikan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain Tengku Nazeri, isu pemilihan parti dan perselisihan antara Mohamed Azmin dan Rafizi turut disentuh beberapa pembahas lain antara termasuk wakil Angkatan Muda Keadilan Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang menggesa anggota parti menyokong kedua-dua pemimpin tersebut.
“Buat saudara Azmin, buat saudara Rafizi, bagi saya dari AMK kita sokong mereka berdua dan buat perwakilan semua kita ada tanggungjawab yang lebih besar selepas ini iaitu untuk mengangkat Anwar sebagai perdana menteri kelapan.
Sementara itu, Anwar dalam sidang media turut menyentuh mekanisme e-undi pada pemilihan PKR yang perlu dilihat semula memandangkan ia menimbulkan pelbagai masalah kepada segolongan pengundi terutama yang tidak celik teknologi maklumat (IT).
Beliau secara peribadi menyifatkan sistem manual (atas kertas) seperti sebelum ini adalah lebih baik, oleh itu akan membawa perkara berkenaan dalam jawatankuasa khas.
Pemilihan PKR yang bermula sejak September lalu terpalit dengan pelbagai masalah termasuk gangguan sistem talian, capaian internet, dakwaan penggodaman dan cubaan menggagalkan kelancaran dengan memasang ‘jammer’.
Perkara itu mencetuskan rasa tidak puas hati anggota parti dan calon bertanding.
Sementara itu, kongres hari ini juga menyaksikan Dr Wan Azizah menyampaikan ucapan dasar terakhirnya sebagai presiden PKR selepas mengemudi parti itu selama hampir 20 tahun sejak penubuhannya pada 1999 dengan nama sebelum ini Parti Keadilan Nasional.
Beliau yang tidak mempertahankan jawatannya dalam pemilihan kali ini, hari ini menekankan mengenai sejarah perjuangan parti itu sejak mula ditubuhkan dan menggesa anggota tidak lupa dengan perjuangan agenda reformasi.
“Hari ini kita menikmati kejayaan hasil daripada usaha gigih dan pengorbanan pelbagai pihak. Seperti mana ranjau yang dilalui oleh Anwar dan juga ramai lagi aktivis masyarakat dan pimpinan parti,” katanya yang juga timbalan perdana menteri.
Pada kongres hari ini juga, perwakilan PKR sebulat suara meluluskan usul untuk melantik Dr Wan Azizah sebagai pengerusi majlis penasihat parti berkenaan, yang baharu diwujudkan.
Kongres akan bersambung esok dimulakan dengan ucapan penggulungan oleh pemimpin-pemimpin utama sebelum diakhiri dengan ucapan penangguhan oleh presiden PKR yang baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – BERNAMA