PUTRAJAYA – Perhimpunan aman yang dijadual berlangsung hari ini melibatkan 3,000 pemandu teksi dari seluruh negara hambar apabila hanya tiga wakil mereka muncul di pejabat Kementerian Pengangkutan, Putrajaya.
Seawal jam 8.30 pagi, kumpulan petugas media sudah mula berkumpul untuk membuat liputan bagaimanapun tiada kelibat pemandu teksi meskipun perhimpunan dijadual bermula jam 9 pagi.
Kira-kira jam 10.30 pagi, akhirnya Pengarah Big Blue Taxi Facilities, Datuk Shamsubahrin Ismail kelihatan di lobi kementerian berkenaan.
Kehadiran pemandu teksi yang kononnya ingin berdemo disambut wakil kementerian namun ditengking Shamsubahrin kerana niatnya ingin mengadakan pertemuan empat mata dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
“Kami tak mahu jumpa dengan setiausaha politik, wakil. Boleh suruh setiausaha politik letak jawatan.
“Kalau nak bincang bawa semua masuk sekali, bawa media,” katanya.
Bagaimanapun, wakil Kementerian Pengangkutan tidak selesa dengan kehadiran media.
Beliau bersama dua lagi wakil pemandu teksi bertemu dengan seorang pegawai wakil daripada pejabat menteri kemudiannya di bawa ke sebuah bilik berlokasi di kafe kementerian berkenaan untuk sesi perbincangan.
Setakat ini perbincangan sedang berlangsung.
Beberapa kenyataan dicanang sebelum ini menyatakan lebih 3,000 pemandu teksi akan berhimpun secara aman.
Mereka pada mulanya merancang untuk mengadakan perhimpunan itu di Parlimen. Bagaimanapun menukar lokasi selepas sidang dewan rakyat bercuti hari ini. – Sinar Harian Online