KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadangkan membuat satu garis panduan yang jelas atau semak dan imbang dalam pengagihan RM1.2 bilion yang diperuntukkannnya bagi memastikan kemajuan syiar Islam tidak terjejas, supaya ia dapat disalurkan secara terus kepada setiap negeri secara adil dan telus.
Pengerusi Gerakan Muslimah Islam Malaysia (GMIM), Wan Asshima Kamaruddin berkata penyalurannya perlu adil dan telus tanpa memilih mana-mana pihak memandangkan semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) pelaksanaan agihan peruntukan hal ehwal agama Islam dilihat lebih cenderung memberi peruntukan kepada pihak yang tidak layak menerima.
“Peningkatan peruntukan (bagi hal ehwal Islam) kali ini amat bagus, tetapi bagi saya pelaksanaannya lebih penting berbanding nilainyaā¦. sebelum ini peruntukan itu sememangnya gah, cuma ia tidak disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Belanjawan 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam menyediakan peruntukan RM1.2 bilion berbanding RM1.1 bilion pada 2018 dalam usaha memastikan kemajuan syiar Islam tidak terjejas berikutan keadaan ekonomi yang mencabar.
Lim berkata penyediaan dana itu seiring status Islam sebagai agama rasmi yang mempunyai kedudukan istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Muhamad Nur Iman Abdul Khudus berkata peruntukan RM150 juta bagi melaksanakan pelbagai program termasuk pembinaan masjid dan surau di seluruh negara dan Inisiatif Khairah Ummah bagi melahirkan lebih ramai profesional dalam kalangan huffaz, adalah inisiatif yang tepat pada masanya dalam mendepani gelombang Revolusi Industri 4.0.
“Ini kerana, kita bukan sahaja mahu melahirkan agamawan, tetapi juga mereka yang mahir dalam selok belok dunia profesional.
“Bagaimanapun, kegusaran di peringkat PKPIM adalah ketelusan pelaksanaan inisiatif ini. Kami berharap ia akan dilakukan dengan lebih menyeluruh dan komprehensif,” katanya. – BERNAMA