PUTRAJAYA – Pengumuman peruntukan sebanyak RM1.2 bilion untuk kemajuan syiar Islam tahun depan membuktikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak pinggir dan abai hal ehwal agama Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata peningkatan peruntukan berbanding RM1.1 bilion tahun ini itu juga menunjukkan Islam tidak diketepikan selaras dengan kedudukannya sebagai agama rasmi negara.
“Alhamdulillah, saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana menaikkan jumlah peruntukan sebanyak RM1 bilion untuk hal ehwal agama Islam.
“Saya juga berterima kasih kerana kerajaan turut menyediakan peruntukan sebanyak RM150 juta untuk pelbagai program, antaranya pembinaan masjid di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mujahid berkata peruntukan itu juga termasuk pengenalan inisiatif Khairah Ummah untuk melahirkan lebih ramai profesional dari kalangan huffaz serta modul pembelajaran agama menggunakan braille.
Beliau berkata kerajaan PH juga menunjukkan keperihatinan dengan tidak mengabaikan sekolah tahfiz dan pondok berdaftar yang masing-masing diperuntukan sejumlah RM50 juta melalui Kementerian Pendidikan dan RM25 juta kepada sekolah pondok berdaftar.
Mujahid menzahirkan komitmen untuk memastikan kesemua peruntukan yang diberi digunakan sebaiknya serta membelanjakannya dengan telus. – BERNAMA