KUCHING – Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sejumlah RM12 juta menerusi program Dana Tambahan atau Permohonan Lambat (ALAF) bagi mempastikan pelaksanaan projek bekalan elektrik ke kawasan luar bandar dan pedalaman di seluruh negeri tahun depan.
Menteri Muda (Utiliti) Bekalan Elektrik, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata program ALAF bertujuan memberi tumpuan kepada pemohon di kawasan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) namun tertinggal dan tidak disalurkan bekalan elektrik atas beberapa faktor.
Kata beliau antara faktor yang dikenal pasti menyebabkan pemohon tercicir ialah status tanah, status pemilik rumah serta ada pemilik rumah membina rumah baharu selepas permohonan di luluskan serta beberapa faktor lagi.
“Program ALAF bermula awal tahun ini, sejak dilancarkan sebanyak 4,000 permohonan telah diterima. Program ini memberi tumpuan kepada permohonan lambat yang berada di dalam kawasan projek BELB. Kita memohon peruntukan berjumlah RM80 juta untuk tujuan itu.
“Untuk tahun depan kita telah dimaklumkan oleh SEB sejumlah RM12 juta telah diperuntukkan untuk program ini. Menerusi kerjasama Kementerian Utiliti Sarawak, Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Syarikat SESCO Berhad (SESCO) semua kawasan penempatan di Sarawak termasuk di luar bandar dan pedalaman disasarkan menerima bekalan elektrik menjelang tahun 2025,” katanya dalam sidang media di bangunan Dewan Undangan Negeri, Petra Jaya di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Pembekalan Elektrik Kementerian Utiliti Syed Mohamad Fauzi Shahab
Sementara itu, Syed Mohamad Fauzi berkata pemohon ALAF dikehendaki membayar untuk proses pendawaian.
“Namun begitu, SEB juga menawarkan Skim Bantuan Pendawaian, ini bermakna pemohon boleh membuat bayaran secara ansuran dalam tempoh 36 bulan selepas bekalan elektrik di pasang,” katanya. –BERNAMA