WISCONSIN, Amerika Syarikat – Seorang veteran tentera yang telah diisytiharkan meninggal dunia, mengejutkan keluarga sendiri dan doktor apabila dia tiba-tiba bangun semula pada keesokan harinya.
Sarjan Kelas Pertama, Jim Bittner dimasukkan ke hospital selepas mengalami serangan jantung sebelum otak Brittner disahkan mati sekali gus menyebabkan dia terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan.
Pesara tentera itu dijadualkan menjalani satu pembedahan khas untuk membersihkan plak di dalam arteri dan paru-parunya, bagaimanapun, pembedahan itu gagal dilakukan selepas badan Bittner menunjukkan beberapa simptom komplikasi.
“Saya mengalami keadaan nafas pendek dan mula batuk berdarah,” katanya sebelum dibawa ke bilik kecemasan sebuah hospital di Mosinee dan kemudian dipindahkan ke Hospital Froedtert.
“Jantungnya terhenti lebih tiga minit. Paru-paru pula tidak membekalkan oksigen mencukupi ke otak selama 55 minit,” kata isterinya, Mary Bittner.
Bittner menghabiskan masa hampir 33 tahun sebagai anggota tentera bersama pasukan Pertahanan Kebangsaan Wisconsin dan doktor percaya tugasnya menyumbang kepada semangat untuk kembali pulih. – Agensi/Kosmo Online