KUALA LUMPUR – Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), pelaburan hiliran terbesar Petronas mencipta sejarah dengan mencapai 120 juta jam bekerja tanpa kemalangan tertinggi dan memasuki Malaysia Book of Records di bawah kategori “Pencapaian Manusia”.
Jam bekerja tanpa kemalangan itu direkodkan dari 18 Mac, 2018 hingga 5 Nov, 2018.
Peristiwa penting itu diraikan dengan kehadiran Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran Datuk Md Arif Mahmood, dan Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Refinery and Petrochemical Corporation (PRPC) Dr. Colin Wong Hee Huing.
Bercakap pada majlis meraikan kejayaan itu, Wong berkata pencapaian tersebut merupakan hasil daripada komitmen berterusan PIC kepada proses keselamatan yang ketat.
“Ini adalah satu pencapaian bersejarah dan pengiktirafan itu adalah penghargaan kepada setiap individu yang bekerja di PIC.
“Kejayaan itu amat bermakna terutamanya kerana kami memiliki tenaga kerja multinasional lebih daripada 65,000 pekerja yang bekerja di persekitraan yang sering berdepan dengan risiko keselamatan melampau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam usaha berterusannya mengekalkan persekitaran kerja yang selamat, Pasukan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar PIC telah melancarkan Pelan Pengurusan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) yang menyeluruh terdiri daripada banyak inisiatif unik termasuk ganjaran dan pengiktirafan, pengurusan akibat, aktiviti kritikal hayat, kumpulan kerja fokus dan program keselamatan berasaskan kawasan.
Ketika PIC memasuki fasa pengoperasian, 13 keperluan mandatori, yang dibangunkan berdasarkan kepada standard dan keperluan undang-undang nasional dan Petronas, dilaksanakan sebagai sebahagian daripada operasi HSE.
Pelaksanaan itu akan distandardkan dalam semua pakej projek semasa permulaan operasi dan ujian prestasi bagi memastikan semua risiko HSE dikenal pasti, dinilai dan dikawal dengan cekap.
Setakat Oktober 2018, PIC telah mencapai kemajuan 96 peratus dan berada di landasan untuk memulakan operasi pada suku pertama 2019. – BERNAMA