HARI ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin buat kejutan dedah kononnya peguam pemaju upah 50 samseng untuk ‘misi rampas’ kuil kontroversi di Subang Jaya, Selangor kelmarin.
Namun tidak sampai beberapa jam kemudian, syarikat hartanah itu, One City Development Sdn. Bhd. pula segera menafikan pihaknya ada ‘bayar’ mana-mana kumpulan untuk buat kacau di Kuil Sri Maha Mariamman tersebut.
Pemaju berkenaan dalam satu kenyataan dipetik portal Free Malaysia Today malah menjelaskan mereka tidak beri kuasa kepada mana-mana individu untuk mengupah ‘samseng’ dan memulakan rusuhan di kuil itu pada Isnin lalu.
“Staf di tapak diarah beri sokongan logistik dan bantu penempatan semula secara teratur di bawah pemantauan polis. Ia terus bagi kerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan kejadian tersebut,” kata kenyataan One City itu.
Kenyataan berkenaan susulan pendedahan siasatan polis oleh Muhyiddin dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini yang dapati peguam kepada syarikat pemaju hartanah itu serahkan RM150,000 kepada ketua sekumpulan lelaki.
Mereka dibayar khas untuk kerja ceroboh, ambil alih dan kawal kuil namun keadaan bertukar sebaliknya apabila pihak kuil minta bantuan ramai orang untuk tahan kumpulan itu sebelum berlaku pergaduhan yang lebih dahsyat.
Dalam pada itu, firma guaman Skrine menafikan yang peguam-peguam syarikat berkenaan ada terlibat dalam upah samseng sehingga tercetus insiden kekecohan berdekatan kuil berkenaan pada awal pagi Isnin dan juga semalam.
Rakan firma guaman itu, Khoo Guan Huat dalam satu kenyataan berkata bahawa tiada mana-mana peguamnya ditahan oleh polis dan firma tersebut juga tidak tahu langsung mengenai apa yang dikatakan sebagai upah samseng.
Beliau berkata firma berkenaan kutuk sekeras-kerasnya tindakan sedemikian sambil merujuk kenyataan Muhyiddin bahawa dua peguam dari syarikat pemaju didapati bayar samseng untuk ambil alih kuil itu sehingga cetus rusuhan.
Muhyiddin juga berkata peguam-peguam tersebut antara 21 orang yang berjaya ditahan oleh polis. Guan Huat berkata Skrine kini mewakili pihak pemaju dalam prosiding sivil melibatkan pemilikan tanah yang kuil itu terletak.
“Bagaimanapun kami secara mutlak menyatakan bahawa kami bukanlah peguam yang dirujuk oleh Menteri Dalam Negeri,” katanya dan menambah, semua langkah diambil Skrine sebagai peguamcara bagi pemaju berkenaan.
Mereka malah telah dan akan terus secara tegas patuhi undang-undang. Satu lagi firma guaman, Tetuan Thomas Philip, berkata ia tidak lagi mewakili One City berhubung pelaksanaan penghakiman persetujuan dengan kuil itu.
Rakan firma guaman itu, Mathew Thomas Philip, berkata dalam satu kenyataan bahawa syarikat tersebut tidak lagi mewakili One City pada 2015 apabila firma guaman lain dilantik untuk ambil alih perkara berkenaan.
“Saya telah terlibat dalam rundingan yang sukar sehingga hasil penghakiman persetujuan yang dipersoalkan bahkan berjaya direkodkan di mahkamah, untuk menyelesaikan pertikaian secara aman dengan pihak kuil pada 2014.
“Namun, saya ingin menjelaskan bahawa sejak 2015, firma itu tidak pernah sama sekali terlibat dalam pelaksanaan penghakiman persetujuan, kerana perkara itu telah diambil alih oleh firma lain.” – Agensi/Mynewshub.TV