TANAH MERAH – Polis merampas kira-kira 6,000 biji pil kuda bernilai hampir RM100,000 selepas menahan seorang lelaki di Kampung Manal di sini, Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah DSP Suzaimi Mohamad berkata suspek berusia 38 tahun itu ditahan sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah ketika berada di tepi jalan di kampung berkenaan.
“Hasil pemeriksaan kami menemui 34 biji pil berwarna merah disyaki pil kuda di dalam poket seluar suspek serta 30 peket plastik berwarna biru mengandungi 6,000 pil disyaki pil kuda di dalam beg sandang yang dibawa lelaki itu dengan anggaran berat keseluruhan 660 gram,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.
Suzaimi berkata ujian air kencing mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis metamfetamina dan pihaknya percaya suspek terlibat dalam pengedaran dadah di kawasan itu sejak beberapa tahun lepas.
“Suspek turut mempunyai satu rekod lampau membabitkan dadah di bawah Sekyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya menambah supek kini direman tujuh hari sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B ADB. – BERNAMA