ALOR SETAR – Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBKed) telah menghentikan semua kerja pembalakan setakat ini di Hutan Simpan Rimba Teloi berhampiran Lata Bayu dekat Sik yang mendapat tujuh kelulusan pada 1 Ogos 2017 sehingga satu keputusan dimuktamadkan kelak.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata kerajaan negeri di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang mengambil alih pengurusan PMBKed memahami bantahan penduduk kampung berhubung pembalakan itu khususnya berkaitan bekalan air masyarakat.
“Syarikat tersebut (PMBKed) telah menunda segala keputusan mengenai kerja-kerja pembalakan dan sebagainya, jadi buat masa ini sekiranya perlu, boleh lagi berbincang dengan penduduk. Tetapi buat masa ini tidak ada lagi apa-apa aktiviti pembalakan yang berlangsung di sana.
“Mungkin, kecuali yang pertama tadi (pelesen, Baling Bayu Engineering (M) Sdn Bhd) yang telah diluluskan pada tahun 2015 iaitu hanya untuk 150 hektar, kompartment 15, yang ini saya kena semak semula, tetapi setahu saya yang ini pun (pembalakan) tidak berjalan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Abd Nasir Idris (PAS-Bayu) yang ingin tahu sekiranya terdapat perbincangan bersama penduduk kampung dibuat kerajaan negeri ataupun pihak syarikat terlibat berhubung masalah itu terutamanya soal bekalan air masyarakat pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.
Dalam pada itu, menjawab soalan asal Abd Nasir yang ingin tahu jumlah kawasan pembalakan hutan simpan itu terlibat, Mukhriz berkata kerajaan negeri meluluskan 2,295 hektar di sebahagian kompartment 14, 15, 16 dan 17 di hutan simpan itu untuk pembalakan secara Sistem Tebangan Memilih.
Bagaimanapun, beliau berkata pelesenan ke atas semua kawasan yang diluluskan itu masih tidak dikeluarkan lagi dan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah akan memastikan aktiviti pembalakan yang diluluskan mematuhi semua peraturan serta syarat semasa bagi mengatasi masalah dibangkitkan itu. – BERNAMA