MELAKA – Polis Melaka menerima 71 laporan berkaitan isu Kuil Sri Maha Mariamman, kata Ketua Polis Melaka Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah.
Beliau berkata daripada jumlah laporan yang diterima, 37 laporan polis diterima di sekitar daerah Jasin, manakala 23 lagi laporan diterima di daerah Melaka Tengah dan selebihnya daerah Alor Gajah.
Laporan berkenaan dibuat susulan insiden kekecohan yang berlaku awal pagi semalam yang dikatakan berlaku berikutan perselisihan antara dua kumpulan mengenai isu pemindahan tapak kuil Sri Maha Mariamman dari lokasi asal ke lokasi baharu di Putra Heights yang terletak kira-kira tiga kilometer dari tapak asal kuil.
“Kita telah mengarahkan polis daerah untuk (meningkatkan) kawalan di institusi keagamaan termasuk surau, masjid dan kuil bagi menjamin keselamatan masyarakat yang mana berkemungkinan ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan terhadap insiden yang (sengaja) disensasikan.
“Saya juga ingin mengingatkan masyarakat di seluruh negeri agar tidak menggunakan medium laman sosial untuk membuat kenyataan yang menjurus kepada sentimen perkauman sehingga menjejaskan ketenteraman awam,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini, hari ini. – BERNAMA