PORT DICKSON — Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri Sembilan hari ini melupuskan hampir 74kg pelbagai jenis dadah dan 333 liter air ketum bernilai RM1.14 juta di Pusat Kualiti Alam (Cenviro) Sdn Bhd di sini, hari ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Noor Azam Jamaludin berkata semua dadah yang dilupuskan itu melibatkan kes yang telah selesai dibicarakan dari tahun 2000 hingga 2017 melibatkan 1,449 kes dari lapan daerah di negeri ini.
“Barang kes yang dilupuskan melibatkan sejumlah 333 liter air ketum, dadah jenis heroin seberat 3.38kg, ganja (4.2 kg), Methampetamine (4.48 kg), ketamin (0.3 gram), Eramin 5 (12.38 kg) dan daun ketum (49 kg),” katanya pada majlis pelupusan barang kes oleh JSJN Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop dan DSP Pang Jin Lai.
Beliau berkata pelupusan itu bagi memberi ruang simpanan barang kes baharu yang masih dalam perbicaraan di samping untuk mengurangkan risiko kepada petugas.
“Polis Negeri Sembilan amat serius dalam misi membanteras dadah habis-habisan dengan memfokuskan tangkapan kepada pengedar-pengedar dadah yang bergiat aktif khususnya di seluruh negeri ini.
“Kejayaan ini adalah hasil komitmen dan kerjasama pegawai dan anggota JSJN Negeri Sembilan bersama agensi lain,” katanya.
Beliau berkata tindakan itu juga menunjukkan JSJN Negeri Sembilan akan terus mengambil langkah-langkah lebih drastik dalam menangani masalah dadah di negeri ini. – BERNAMA