MIRI – Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan 91 lelaki warga Indonesia dalam Ops Libas di sebuah ladang kelapa sawit di Niah pukul 1.30 pagi semalam (Jumaat).
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 12 Miri Supt Tan Hiap Seng berkata, serbuan dibuat hasil risikan serta maklumat orang awam melibatkan 64 anggota PGA Miri dan enam pegawai Jabatan Imigresen Miri.
“85 orang warga Indonesia ditahan di bawah seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu memasuki negara tanpa dokumen sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tan berkata, enam orang lagi warga Indonesia ditahan di bawah seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu kesalahan tinggal lebih tempoh sah di negara ini.
“Kesemua warga asing itu telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Miri untuk tindakan lanjut,” katanya. – BERNAMA