KEPALA BATAS – Polis berjaya menumpaskan satu geng pecah rumah yang menjalankan kegiatan di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) selepas menahan dua lelaki dalam serbuan berasingan di Penaga dan Permatang Tinggi A, di sini semalam dan Rabu.
Ketua Polis Daerah SPU ACP Noorzainy Mohd Noor berkata polis berjaya menahan lelaki pertama pada Rabu ketika suspek berusia 20-an itu cuba melarikan diri selepas memecah masuk sebuah rumah di Permatang Tinggi A.
“Dalam kejadian pukul 10 malam itu, pemilik rumah berkenaan ternampak dua lelaki terjun keluar dari tingkap bilik rumahnya dan beliau bersama anaknya berjaya menangkap seorang daripada mereka manakala rakan jenayah berjaya melarikan diri,”katanya di sini hari ini.
Beliau berkata susulan kejadian itu polis berjaya mengesan lelaki yang melarikan diri itu dan menahan suspek berumur 30 tahun pada pukul 12.15 tengah hari semalam di Penaga dan merampas wang tunai RM1,800 bersamanya dipercayai hasil kegiatan pecah rumah.
Katanya siasatan mendapati mereka terlibat dalam kegiatan itu sejak beberapa bulan lepas dan polis percaya dengan penahanan dua lelaki berkenaan pihaknya dapat menyelesaikan lima kes pecah rumah.
Noorzainy berkata ujian air kencing mendapati dua lelaki itu positif dadah dan mereka yang tidak bekerja itu kini direman untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, dalam perkembangan lain katanya polis menahan seorang lelaki berusia 60 tahun yang kononnya datang untuk mengajak ke majlis kenduri kesyukuran, sebaliknya ia adalah taktik digunakan suspek untuk melakukan kegiatan samun.
Katanya modus operandi itu digunakan lelaki berkenaan yang ditahan pada Khamis lepas dan dikesan melakukan 10 kes samun di daerah SPU serta Seberang Perai Selatan (SPS) dan beberapa lokasi di Kedah.
“Suspek ditahan di rumah dekat Taman Belatuk, Nibong Tebal selepas polis mendapat laporan daripada seorang wanita warga emas yang patah paha apabila disamun di rumahnya dekat Pajak Song, Kepala Batas pada Khamis.
“Sebelum itu, suspek memberitahu mangsa bahawa dia adalah kakitangan Tenaga Nasional Berhad (BHD) dan mahu menjemput mangsa untuk menghadiri majlis kenduri kesyukuran sebelum dia bertindak menyamun mangsa,” katanya.
Beliau berkata hasil soal siasat lanjut mendapati lelaki yang tidak bekerja itu mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan kes samun dan mula bergiat aktif dalam kegiatan itu sejak tiga bulan lepas.
“Sasarannya ia warga emas yang tinggal sendirian di rumah dan susulan penahanan lelaki itu polis merampas sebuah kereta Perodua Axia yang digunakan untuk kegiatan berkenaan serta pelbagai barangan kemas bernilai kira-kira RM50,000,”katanya. – BERNAMA