KUALA LUMPUR – Sempena ulang tahun ke-90 Mickey Mouse, Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) bakal mengeluarkan koleksi siri setem memorabilia ikon karakter terkenal siri animasi Disney itu, sempena Minggu Setem 2018 yang berlangsung mulai 12 hingga 18 Nov ini.
Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia Diyana Lean Abdullah berkata, penghasilan siri setem itu merupakan kolaborasi pertama antara Pos Malaysia dengan The Walt Disney Company Malaysia.
“Mickey Mouse merupakan figura ikonik yang menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. Ia bukan sahaja membawa keriangan kepada kanak-kanak tetapi juga seluruh isi rumah dengan keletah dan daya penariknya. Pengeluaran siri setem ini juga bertujuan menarik minat generasi muda ke Minggu Setem 2018,” katanya kepada pemberita ketika memperkenalkan siri setem itu, di sini, hari ini.
Menurutnya, memorabilia Mickey Mouse dihasilkan dalam folder edisi terhad yang mengandungi dua helaian Setem Ku Mickey Mouse, empat keping sampul kenangan berserta dengan setem pracetak dan empat keping kad postal Mickey Mouse berserta setem pracetak.
“Folder set istimewa ini dijual pada harga RM90 setiap satu. Kita juga ada menjual dua keping kad postal istimewa Mickey Mouse berserta setem pracetak yang dijual pada harga RM10 setiap set. Kita sarankan agar peminat atau pengumpul setem segera mendapatkan koleksi istimewa ini kerana hanya terdapat 5,000 set folder serta 2,000 set kad postal yang dicetak,” katanya.
Set istimewa folder dan kad postal Mickey Mouse ini boleh didapati di kesemua 13 Pejabat Pos Besar dan pejabat pos terpilih di seluruh negara atau melalui e-mel di www.eziemall.com.
Pada masa sama, Diyana Lean berkata, Pos Malaysia juga akan mengeluarkan setem Kehidupan Masyarakat Malaysia Siri 2 yang menampilkan aktiviti seperti bermain layang-layang, bermain alat muzik, memancing, mengumpul setem dan mereka cipta pada Minggu Setem 2018.
“Terdapat lima setem Kehidupan Masyarakat Malaysia yang dikeluarkan dan setiap satunya berharga 60 sen. Selain itu, kita turut mengeluarkan lima kad postal yang mempunyai imej yang sepadan dengan aktiviti yang terdapat pada setem. Kad postal ini dijual pada harga RM1 setiap satu,” katanya.
Katanya, turut disediakan ialah tujuh cap tarikh khas selain pelbagai produk filateli lain seperti Sampul Hari Pertama (FDC) berserta dengan brosur percuma bernilai 50 sen setiap satu manakala folder pula dijual pada harga RM6 setiap satu. Set lengkap siri setem ini bernilai RM74.50.
“Kita hanya mencetak 200,000 keping bagi setiap satu reka bentuk setem; 30,000 keping FDC; 5,000 keping bagi setiap reka bentuk kad postal dan 1,800 keping folder sahaja. Jadi, kita menggalakkan pengumpul dan peminat setem serta orang ramai mendapatkan koleksi ini kerana kita tidak akan mengeluarkan siri ini sekiranya habis terjual,” katanya.
Terdahulu, katanya, Pos Malaysia pernah mengeluarkan siri setem yang mempunyai tema hampir sama iaitu Koleksi Kartun Malaysia LAT pada Disember 2008 dan Hobi Kanak-kanak pada November 2012.
Dalam pada itu, Diyana Lean berkata, Pos Malaysia juga akan mengeluarkan koleksi Sampul Kenangan, Pencapaian Malaysia di Sukan Asia Ke-18 Jakarta-Palembang 2018, pada 15 Nov ini.
Katanya, sampul kenangan yang bernilai RM3 itu menampilkan logo Sukan Asia Edisi Ke-18, maskot serta bendera manakala setemnya pula mempamerkan imej pelbagai sukan yang menyumbang pingat emas kepada negara dalam temasya itu.
“Kita hanya mengeluarkan 25,000 keping sampul kenangan yang bertujuan untuk memberi penghormatan kepada sumbangan atlet negara semasa temasya Sukan Asia 2018. Setemnya pula dicetak dengan kerajang emas manakala imej atlet berserta dengan pingat dijadikan cap tarikh khas bagi keluaran ini,” katanya.
Sementara itu, bagi pengunjung yang membuat pembelian RM80 ke atas dalam Minggu Setem 2018, mereka berpeluang mendapatkan sekeping setem Cinderella iaitu setem yang tidak bernilai namun sangat diidamkan oleh pengumpul setem bagi memenuhi koleksi mereka. – BERNAMA