KUCHING – Kos projek air pancut berirama atau ‘Musical Fountain Daruk Hana’ berharga RM31 juta di tebing Sungai Sarawak telah dibentang dan melalui jawatankuasa kos khas yang dipengerusikan oleh setiausaha kewangan negeri.
Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip berkata projek berkenaan telah dilaksanakan melalui kaedah reka dan bina (design and build) dan mematuhi Prosedur Operasi Standard Dewan Bandaraya Kuching (DBKU) serta ‘Local Authorities Financial Regulations 1997’.
“Sangat mengejutkan Yang Berhormat bagi Pending Violet Yong mendakwa projek ini boleh disiapkan dengan kos hanya RM5 juta, jika dilaksanakan secara tender terbuka.
“Kerajaan negeri bersedia untuk berkongsi reka bentuk kepada Yang Berhormat untuk melaksanakan projek ‘musical fountain’ dengan kos RM5 juta sekiranya benar-benar yakin dapat menyiapkan projek mengikut sepenuhnya spesifikasi kos RM5 juta…dipersilakan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan mengenai Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.
Talib berkata projek itu sangat kompleks dan memerlukan kepakaran khusus dengan skop kontrak yang meliputi dua tahun kos penyelenggaraan dan lima tahun jaminan reka bentuk.
Beliau berkata pembinaannya memang memakan kos dan memberi contoh Dubai Fountain di Emiriah Arab Bersatu yang dibina pada 2009 dengan kos RM910 juta atau US$218 juta.
“Musical Fountain ini beroperasi menggunakan teknologi terkini dengan pontun selebar 100 meter berserta 372 ‘nozzle’ khas dengan keupayaan pancutan air ‘central spray’ setinggi 60 meter dan ‘cascade fountain’ 25 meter,” katanya.
Menyentuh tentang isu projek hybrid solar untuk membekalkan tenaga elektrik kepada sekolah luar bandar di Sarawak, beliau berkata ia melibatkan syarikat swasta, iaitu Jepak Holdings.
Kantanya isu tersebut telah ditangani oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di mana beberapa orang saksi telah dipanggil untuk diambil keterangan.
“Oleh itu, dakwaan mengatakan ada usaha untuk menutup kes ini ternyata sekali satu tohmahan yang berniat jahat untuk mencalar imej baik kerajaan negeri,” tambahnya. – BERNAMA