KUALA LUMPUR – Abdul Razak Baginda, hari ini, tampil menyatakan kesediaan membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembelian kapal selam Scorpene bernilai RM4.67 bilion.
Bekas penganalisis politik dan orang kepercayaan Datuk Seri Najib Razak itu berkata demikian susulan SPRM kembali membuka kertas siasatan berkaitan dakwaan rasuah dalam pembelian kapal selam berkenaan.
“Dalam apa jua keadaan, saya sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa sekiranya dipanggil, dalam sebarang siasatan,” katanya seperti yang dilaporkan portal tempatan, Malaysiakini, hari ini.
Razak dipercayai adalah salah seorang yang dikaitkan dalam kes itu, dan didakwa menerima bayaran hasil pembelian Scorpene daripada pembekal di Perancis, pada 2002.
Pagi tadi, pegawai penyiasat merakam kenyataan Najib di Putrajaya. Bekas Pengerusi BN itu dilaporkan berada di ibu pejabat SPRM selama empat jam.
Sumber SPRM mendedahkan, Razak antara yang akan dipanggil untuk soal siasat berhubung pembelian kapal selam berkenaan.
Pembelian dua kapal selam Perancis antara kerajaan Malaysia dan pembekal di Perancis, DCN International SA (DCNI), dilakukan pada 2002 ketika Najib menjadi Menteri Pertahanan.
Najib menyelia pembelian dua kapal selam jenis Scorpene dan satu kapal selam jenis Agosta daripada unit limbungan tentera laut Perancis, DCN, bernilai hampir STG1 bilion (AS$1.17 bilion).
Difahamkan, urusan pembelian kapal selam itu turut membabitkan pembekal dari Sepanyol, Izzar Construcciones Navales dan syarikat perkhidmatan Malaysia, Perimekar Sdn Bhd, yang dipercayai dimiliki Razak.
Pada 2012, media melaporkan pendakwa raya Perancis yang menyiasat urusan pembelian berkenaan menemukan bukti yang didakwa menunjukkan Najib mendapat AS$1 bilion (RM3 bilion) bagi Perimekar yang dibayar melalui DCNI. – BH Online