Monday, November 25, 2024

Creating liberating content

Pusat Beli-Belah Terbakar, 37...

DAVAO - Seramai 37 dipercayai maut dalam kebakaran di sebuah pusat beli-belah di...

“Hakim Mahkamah Tinggi Tersalah...

PUTRAJAYA - Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Rayuan di sini,...

Ibadah Umrah Dibenarkan Semula...

KUALA LUMPUR : Kabinet hari ini memutuskan untuk membenarkan semula umat Islam mengerjakan...

Kedah Umum 25 April...

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah hari ini mengumumkan 25 April ini sebagai hari...

RCEP: Berikan Kami Perjanjian Yang Adil, Kata Malaysia

SINGAPURA – Ia boleh menjadi perjanjian perdagangan terbesar dunia, tetapi Malaysia tidak akan menandatangani Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) jika ia tidak membentuk perjanjian yang adil.

Semestinya, ia adalah aspirasi negara-negara ASEAN termasuk Malaysia, untuk membuat kesepakatan pada 2019, bagaimanapun Putrajaya akan terus dengan rundingan berkenaannya tahun depan.

“Apa pun, jika Malaysia berasakan ia tidak akan menerima perjanjian yang adil, maka kita tidak sewenang-wenangnya bersetuju untuk menandatanganinya pada 2019,” demikian kata satu sumber yang terbabit dalam rundingan berkenaan kepada Bernama.

Walaupun terdapat proses yang ketara dalam rundingan itu, namun di penghujung hari, perjanjian itu harus memberi manfaat kepada semua pihak, mengambil kira tahap pembangunan ekonomi yang berbeza, pada masa sama ia adalah komprehensif dan seimbang, kata sumber berkenaan selepas Sidang Kemuncak Kedua RCEP di bandar raya ini pada Rabu.

Dilancarkan pada 2012, RCEP adalah perjanjian ekonomi terbesar dunia, meliputi hampir setengah ekonomi global.

Ia membabitkan 16 negara – 10 negara anggota ASEAN bersama dengan enam negara Asia Pasifik iaitu Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

Rundingan berkenaan perjanjian perdagangan bebas (FTA) itu pada mulanya dijadualkan untuk dimuktamadkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-33, di sini.

Malaysia melahirkan kebimbangan yang mana satu daripadanya adalah akses pasaran, kata sumber berkenaan yang tidak mahu kata-katanya dipetik.

“Dalam mana-mana FTA, kita seharusnya mengurangkan atau menghapuskan tarif. Justeru, apabila kita seharusnya mengurangkan tarif, pihak yang satu lagi juga harus saling memberi. Sudah tentu kita tidak boleh mengharapkan kesemua pengurangan itu pada tahap yang sama memandangkan ekonomi kesemua 16 negara juga berada pada tahap yang pelbagai.

“Jika saya memberikan kamu 80 peratus akses pasaran dan kamu hanya memberikan kami 60 peratus, ini tidak adil. Tetapi jika ia seperti 75 peratus berbanding 72 peratus, ia boleh dipersetujui. Untuk itu, perbezaan dalam akses pasaran tidak boleh menjadi jurang yang terlalu besar,” kata sumber berkenaan.

Sumber berkenaan juga menegaskan bahawa, FTA tidak boleh memihak kepada sesetengah negara dengan mengorbankan yang lain.

“RCEP adalah rakan dialog 10 negara ASEAN dengan yang lain. Ia seharusnya dapat menghasilkan ekonomi yang memberikan faedah kepada semua negara ASEAN bersama rakan dialognya. Tetapi jika FTA itu condong ke arah rakan dialog, justeru ia sudah tidak lagi adil.


“Saya fikir, saya juga boleh bercakap bagi pihak negara anggota ASEAN lain, terutamanya negara yang kurang membangun (LDC),” kata sumber berkenaan

Tiga negara ASEAN, Kemboja, Laos dan Myanmar, diklasifikasikan sebagai LDC.

Bernama difahamkan bahawa, sewaktu mencelah, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menyatakan, walaupun Malaysia sebahagian daripada perkongsian berkenaan dan bergantung tinggi kepada perdagangan, ini tidak bermakna bahawa negara kita perlu berkompromi terhadap hak kedaulatannya dan agenda nasional.

Sementara itu, di dalam Kenyataan Bersama Pemimpin berhubung rundingan RCEP, ia menyatakan bahawa, mereka bertekad untuk memuktamadkan kesepakatan yang moden, komprehensif, berkualiti tinggi dan menguntungkan semua pada 2019.

“Kami mengalu-alukan muktamadnya tujuh bab sehingga kini iaitu berkenaan Ekonomi dan Kerjasama Teknikal, Perusahaan Kecil dan Sederhana, Prosedur Kastam dan Fasilitasi Perdagangan, Pemerolehan Kerajaan. Peruntukan Institusi, Langkah Sanitasi dan Ritosanitasi serta Piawaian, Peraturan Teknikal dan Prosedur Penilaian Kesesuaian. Lima daripadanya dimuktamadkan tahun ini,” kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, kenyataan itu juga menyebut bahawa, terdapat keperluan untuk meningkatkan momentum ini bagi membolehkan bab selanjutnya dan lampirannya dimuktamadkan.

Akses pasaran dan peraturan rundingan adalah sebahagian daripadanya.

“Kami mengulangi akan nilai pembabitan berterusan dengan pelbagai pihak berkepentingan mengenai RCEP, termasuk wakil daripada sektor perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak berkepentinga lain, dalam memastikan RCEP kekal inklusif,” kata kenyataan itu. – BERNAMA

Kategori