KUALA LUMPUR – Restoran 24 jam sering menjadi tumpuan warga kota yang “kelaparan” selepas tengah malam.
Kerana jumlah pelanggan yang semakin meningkat dan demi mengaut lebih keuntungan, ramai peniaga kedai makanan dan pengusaha restoran tidak lagi mempedulikan aspek keselamatan pelanggan dengan menambah bilangan kerusi meja hingga ke ruang parkir dan pinggir jalan.
Mereka seringkali melakukan kesalahan kerana meletakkan kerusi meja melebihi jumlah yang dibenarkan pihak berkuasa tempatan.
Tinjauan Bernama di sekitar Taman Desa, Jalan Klang Lama dan Taman OUG di sini mendapati perbuatan seumpama itu, termasuk meletakkan kerusi meja di laluan pejalan kaki dan di dalam petak parkir, menjadi satu kebiasaan khususnya pada waktu malam.
Mereka seolah-olah tidak peduli langsung kesusahan pihak lain akibat perbuatan mereka itu misalnya kesesakan lalu lintas yang disebabkan aliran trafik terganggu dan orang ramai tidak dapat menggunakan laluan pejalan kaki kerana dipenuhi kerusi meja.
Pelajar kolej swasta Mandy Chen, 25, berkata beliau sering mengalami kesukaran mencari tempat parkir untuk menjamu selera di restoran terutamanya di kawasan-kawasan restoran 24 jam kerana kawasan parkir awam sering disalahgunakan sesetengah peniaga kedai makan.
“Jika saya mahu melalui di depan kedai-kedai makan sebegini, saya menjadi risau dan lebih berhati-hati kerana takut terlanggar mereka yang menjamu selera di tepi jalan,” katanya kepada Bernama.
Malah, ada antara gerai makan tepi jalan yang seolah-olah tidak takut kepada tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) demi mengaut keuntungan.
Peniaga pasar malam, Ahmad Zulkifley Mohamad, 41, berkata sesetengah peniaga gerai makan atau restoran tidak mengendahkan teguran pelanggan ataupun peniaga-peniaga lain dengan meletakkan kerusi meja sehingga ke tengah jalan.
“Ia perlukan permohonan daripada PBT (Pihak berkuasa tempatan) dan ada had kawasannya…ada yang sehinggakan menghalang lalu lintas, kami tegur mereka tetapi sebaliknya kami pula dimaki hamun…kami tidak mahu sebarang kemalangan berlaku lagi yang mengorbankan nyawa pelanggan,” katanya.
Malam Ahad lalu seorang wanita berusia 57 tahun maut manakala empat cedera apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda terbabas dan merempuh orang ramai yang makan di parkir berhampiran sebuah restoran di Taman Equine, Seri Kembangan.
Kejadian sama turut berlaku di sebuah restoran mamak 24 jam di Seksyen 14, Petaling Jaya pada 25 Mei 2003 apabila seorang pembantu jualan, Nur Shuhaila Tajudin, 19, maut akibat dirempuh sebuah kereta dipandu pelajar kolej swasta ketika makan malam bersama empat rakan lain di luar restoran itu.
Bagaimanapun, empat rakannya serta dua lagi pelanggan lelaki cedera parah akibat kemalangan itu.
Semalam, Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad meminta orang ramai tampil membuat laporan kepada DBKL jika mendapati berlakunya sogokan wang antara anggota penguat kuasa dan pengusaha restoran di sekitar ibu kota berkaitan isu sama.
Khalid dipetik sebagai berkata bagi mengulas dakwaan Anggota Parlimen Kepong, Lim Lip Eng terhadap sogokan wang antara penguat kuasa DBKL dan pengusaha restoran untuk membenarkan mereka berniaga di kawasan-kawasan dilarang, terutamanya di petak-petak parkir awam.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL Azman Mahmood berkata kebanyakan daripada mereka yang menyalahgunakan ruang parkir kereta untuk perniagaan mereka adalah pengusaha restoran yang beroperasi 24 jam.
Katanya pihaknya menjalankan Operasi Tegas (Op Tegas) secara konsisten di seluruh ibu kota dari masa ke semasa dalam usaha menangani isu peniaga dan penjaja yang didapati melanggar peraturan yang ditetapkan.
“Jika peniaga dan pengusaha restoran didapati menyalahgunakan parkir awam, tindakan menyita kerusi meja dan barangan jualan restoran akan dilakukan.
“Tindakan sita dilakukan mengikut Seksyen 46 (1) Akta Jalan, Perparitan dan Bangunan 1974 dan UKK 3 (1) Undang-Undang Kecil Perlesenan Penjaja dan Gerai 2016, dan mereka juga dikenakan kompaun tidak melebihi RM2,000,” katanya.
Katanya pihaknya telah menjalankan operasi tersebut di sekitar Wangsa Maju pada Ahad lalu dan mendapati sembilan restoran melakukan kesalahan halangan dengan meletakkan barangan jualan serta kerusi meja mereka di parkir awam.
“Kami tidak akan bertolak ansur terhadap peniaga dan penjaja degil serta ‘kebal’….Penguatkuasaan ini adalah bertujuan untuk keselamatan orang awam dan juga kebersihan kawasan setempat,” katanya. – BERNAMA