COX’S BAZAR (BANGLADESH)/YANGON – Puluhan keluarga Rohingya yang dimasukkan dalam senarai penghantaran pulang ke Myanmar, hujung minggu ini, menghilangkan diri dari kem tempat mereka berlindung, kata seorang ketua komuniti dalam pada Nyapyidaw bersedia menerima mereka semula.
“Kebanyakan orang yang tersenarai sudah melarikan diri untuk mengelak dihantar pulang,” kata Abdus Salam, ketua Rohingya di kem Jamtoli, kira-kira 40 kilometer ke tenggara Cox’s Bazar, Bangladesh.
Katanya, kebanyakannya melarikan diri ke kem berhampiran untuk mengelak dikesan dan dipaksa pulang ke Myanmar.
Seorang pelarian yang melarikan diri dari Jamtoli bersama keluarganya ke kem Kutupalong berkata: “Ramai yang mengelak solat Jumaat di masjid kerana bimbang dikenal pasti dan dihantar pulang.”
Lewat Oktober lalu, Dhaka dan Nyapyidaw bersetuju memulakan penghantaran pulang ratusan ribu pelarian Rohingya yang menyelamatkan diri daripada disasarkan tentera, dalam pada agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan bantuan menyuarakan keraguan terhadap keselamatan mereka serta keadaan yang menanti di Myanmar.
Penghantaran pertama dijadualkan pada 15 November ini dan pihak berkuasa di Myanmar semalam berkata, mereka bersedia menerima pelarian berkenaan minggu ini.
Minggu lalu, lebih 20 individu disenaraikan Bangladesh memberitahu Reuters mereka tidak mahu pulang ke Rakhine kerana takut.
Bangladesh berkata, ia tidak akan memaksa sesiapa pulang dan meminta Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) mengesahkan sama ada mereka yang disenarai pendek benar-benar bersetuju pulang. – Reuters/myMetro Online