RATUSAN ribu Muslim Rohingya yang melarikan diri dari Myanmar akibat ancaman keganasan oleh pihak berkuasa tidak akan dipaksa pulang, kata pesuruhjaya bantuan Rohingya di Bangladesh, lapor Al-Jazeera.
“Tidak ada seorang pun akan dipaksa pulang,” Abul Kalam dilapor berkata.
Bangladesh dilaporkan menjadualkan penghantaran pulang sekumpulan pelarian Rohingya, hasil persetujuan dicapai pada Oktober lalu antara negara Myanmar dengan Bangladesh.
Menurut perjanjian ini, satu kumpulan pertama 2,260 orang Rohingya daripada 485 keluarga pada Khamis.
Tindakan ini bagaimanapun ditentang oleh agensi pelarian PBB, yang mengatakan minoriti Muslim ini tidak boleh dipaksa pulang.
Pihak Bangladesh apabila ditanya sekadar berkata perjanjian telah dicapai antara Bangladesh dengan Myanmar dan diharap kerajaan Myanmar mematuhi perjanjian.
Kandungan perjanjian antara kedua-dua negara bagaimanapun tidak didedahkan kepada umum.
Minggu ini, Michelle Bachelet, Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia menggesa Bangladesh menghentikan rancangan menghantar pulang pelarian, yang melanggar undang-undang antarabangsa.
“Kita sedang menyaksikan ketakutan dan panik dalam kalangan pelarian di Cox’s Bazar yang berdepan risiko dipaksa pulang ke Myanmar.
“Menghalau atau memaksa pulang pelarian dan pemohon suaka ke negara asal mereka boleh dianggap satu pencabulan prinsip asas (berhubung pelarian) yang melarang penghantaran pulang apabila ada ancaman kekejaman atau risiko terhadap nyawa dan fizikal, atau kebebasan individu,” katanya. – Mynewshub.tv