SEDIH… Tunang anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya yang parah diserang perusuh di Kuil Maha Mariamman, awal pagi tadi merintih menerusi akaun media sosial.
Nurul Najihah dilaporkan memohon ihsan rakyat Malaysia mendoakan agar Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di balai berkenaan selamat dan segera sembuh.
Beliau menerusi hantaran dalam laman Facebook berkat bahawa, dirinya tidak cukup kuat untuk melihat keadaan Muhammad Adib terlantar Unit Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) pada ketika ini.
“Kamu kuat. Cepat bangun kamu Muhammad Adib. Doakan tunang saya. Tak kuat tengok kamu macam tu,” kata Nurul Najihan. Dalam hantaran itu beliau turut berkongsi gambar bersama Muhammad Adib.
Mangsa yang dilaporkan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri itu dipercayai mengalami kecederaan patah tulang rusuk serta beberapa kecederaan dalaman akibat dibelasah perusuh secara berjemaah.
Dalam kejadian malang kira-kira pukul 1 pagi tadi itu, anggota berkenaan diserang apabila pasukan EMRS dan jentera BBP Subang Jaya tiba di lokasi selepas dapat maklumat sebuah kereta terletak di luar kuil terbakar.
Anggota yang duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRS itu tiba-tiba ditarik biadab keluar oleh kumpulan perusuh samseng tersebut sebelum teruk dipukul apabila pasukan tersebut berundur setelah diserang.
Dalam pada itu, doa rakyat Malaysia bercurahan kepada Muhammad Adib yang cedera parah diserang perusuh di sekitar Kuil Maha Mariamman, awal pagi tadi menerusi akaun Facebook milik Nurul Najihah.
Doa yang dititipkan di Facebook tunang anggota bomba tersebut antara lain memohon agar mangsa yang kini tidak sedarkan diri dan berada di ICU SJMC agar sembuh seperti sedia kala.
“Bawak bersabar ye cik. Moga Allah beri kekuatan Cik dan tunang, serta seluruh ahli keluarga kalian,” doa Asraf Thaqib Muhammad.
“Semoga urusan kamu dipermudahkan olehNya.. Ya Allah sembuhkan dia, kau tabahkanlah ahli keluarganya,” kata Nurulhidayah Amirna.
“Saya tak kenal cik, saya harap cik dan tunang diberikan kekuatan. Amin,” kata Khairunnisa Hanis
“Semoga Allah permudahkan segala urusan. Semoga saudara Adib kembali pulih,” doa Aqilah Khozai.
“Semoga tunang Cik cepat sembuh. Saya betul-betul kesal atas apa yg dah berlaku kepada beliau. Saya harap pihak berkuasa akan kesan mereka yang telah mencederakan tunang cik,” tulis Lakshmi Kumar.
Sementara itu, rusuhan berkenaan berjaya dikawal oleh pihak polis menjelang subuh hari ini yang tiba lewat akibat dihalang pihak perusuh di jalan raya dekat dengan kuil tersebut. – Agensi/Mynewshub.TV