KOTA BELUD – Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah akan memastikan sebahagian daripada peruntukan RM100 juta untuk menaik taraf jalan dalam Belanjawan 2019 dapat digunakan untuk melaksanakan teknoloji pembinaan jalan raya berasaskan getah di negeri ini.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata sebagai projek perintis, kementeriannya akan menggunakan teknoloji tersebut untuk menaik taraf jalan sepanjang dua kilometer di Kampung Tambulaung-Podos, Kota Belud, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian.
Menurutnya, membangunkan teknoloji tersebut dalam projek menaik taraf jalan raya bukan sahaja boleh menyelesaikan keperluan membina jalan raya malah akan mewujudkan permintaan terhadap bahan mentah getah, sekali gus boleh meningkatkan harga getah.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Projek Perintis Teknoloji Pembinaan Jalan Raya Berasaskan Getah di Pejabat Daerah Kota Belud, di sini, hari ini.
Antara yang menyertai mesyuarat tersebut ialah Ketua Unit Pembangunan Produk dan Kejuruteraan, Lembaga Getah Malaysia (LGM), Dr. Nazirah Ahmad, Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Lilian Gungat dan Timbalan Pengurus Besar Operasi, Perindustrian Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), Liau An Chuan.
Mesyuarat tersebut bertujuan memperincikan data-data teknikal, kajian kebolehlaksanaan, kos pemindahan teknologi dan pelaksanaan projek perintis ini.
Ewon, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, berkata, projek perintis tersebut akan menggunakan Cup-Lump Modified Bitumen (CMB) iaitu campuran bitumen dengan sekerap getah.
“Ini adalah jalan pertama di Sabah menggunakan hasil kajian teknologi oleh LGM dan sebahagian besar kosnya akan dibiayai oleh LGM,” katanya. – BERNAMA