TAHUN 2018 dijangka mencatat rekod sebagai keempat terpanas dalam rekod, menurut Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO).
Menurut pertubuhan dunia ini, purata suhu global tempoh 10 bulam tahun ini hampir 1 darjah celsius melebihi paras tahun 1850-1900.
Laporannya menyatakan 20 tahun paling panas dicatat dalam rekod meliputi 22 tahun kebelakangan ini, dengan tahun 2015-2018 menduduki tangga empat terpanas.
Sekiranya trend ini berterusan, WMO berkata suhu mungkin meningkat pada kadar 3 hingga 5 darjah celsius menjelang tahun 2100.
Peningkatan suhu bagi tahun 2018 pada 0.98 darjah celsius diperolehi daripada lima set data yang diperolehi secara bebas.
Kata WMO lagi, salah satu faktor yang menjadikan 2018 sedikit sejuk berbanding tahun-tahun sebelumnya ialah fenomena cuaca La Nina yang membawa cuaca lebih sejuk.
Pengkaji berkata fenomena El Nino yang lemah dijangka berlaku pada awal 2019, menjadikan tahun depan lebih panas berbanding tahun ini.
Apapun kesan kejadian-kejadian ini, saintis berkata trend jangka panjang pemanasan berterusan pada 2018 dan menunjukkan peningkatan paras laut, asidifikasi laut dan pencairan glacier sebagai tanda-tanda perubahan iklim.
“Tidak ada tanda kita boleh berjaya mencapai sasaran perubahan iklim dan menangani peningkatan suhu,” kata setiausaha agung WMO Petteri Taalas.
“Konsentrasi gas rumah hijau sekali lagi berada pada kadar rekod dan jika trend semasa berterusan, kita akan menyaksikan suhu meningkat sebanyak 3-5 darjah celsius menjelang hujung abad ini,” katanya.
Laporan WMO ini menunjukkan beberapa kes penting bagi tahun 2018.
Di Kerala, India, seramai 5 juta orang terjejas akibat banjir. Di Jepun, ratusan orang mati akibat banjir.
Gelombang haba berlaku di banyak tempat di Eropah termasuk UK, menyebabkan kejadian kebakaran di beberapa tempat di Scandinavia.
Pada Julai dan Ogos, beberapa rekod suhu tinggi dicatat di sebelah utara Lingkaran Artik. Helsinki mengalami lima hari berturut-turut suhu melebihi 25 darjah celsius.
Kebakaran besar berlaku di Amerika Syarikat pada November, mengorbankan paling banyak nyawa dalam sejarah kebakaran di AS sejak seabad lalu.
Greece juga menyaksikan korban akibat kebakaran, sementara British Columbia mengalami kebakaran kawasan paling luas dalam musim kebakaran. – BBC