IPOH – Sambutan terhadap program Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Perak kurang memberangsangkan.
Pengerusi Jawantankuasa Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Wong May Ing berkata sehingga 28 November, daripada 13,603 suri rumah yang layak, hanya 1,454 atau 10.7 peratus telah berdaftar dengan program tersebut.
Wong, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis berkata antara alasan paling banyak diterima adalah suri rumah berkenaan tidak mampu untuk mencarum RM5 sebulan ke dalam i-Suri.
“Selain itu, suami juga enggan membantu isteri mencarum RM5 sebulan ke dalam akaun tersebut,” katanya dalam sidang media di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-14 di sini, hari ini.
Menurut Wong, permohonan i-Suri bermula dari 15 Ogos yang mana peserta hanya perlu buat simpanan serendah RM5 dan kerajaan akan memberi RM40 sebulan selain pencarum turut dapat pelbagai manfaat lain termasuk pengecualian cukai.
“Perlu diingatkan bahawa program i-Suri ini bertujuan membantu golongan suri rumah miskin dan miskin tegar. Kepada suri rumah di bawah e-Kasih yang berminat dan layak perlulah mendaftar diri di pejabat KWSP,” katanya.
Menyedari sambutan yang kurang memberangsangkan, Wong berkata pihaknya giat menjalankan kempen kesedaran agar lebih ramai suri rumah mencarum demi manfaat dan masa depan mereka sendiri. – BERNAMA