BANGKOK – Seorang sarjan mejar Thailand yang dijangkiti HIV ditahan dan didakwa atas kesalahan merogol kira-kira 75 remaja lelaki, selepas mengumpan mereka untuk bertemu di timur laut negara itu, kata pegawai penguatkuasa kanan, hari ini.
Tentera berusia 43 tahun di wilayah Khon Kaen itu menggunakan profil palsu dalam aplikasi homoseks untuk menjemput mangsa yang berusia antara 13 hingga 18 tahun supaya bertemu tertuduh, kata timbalan jawatan kuasa jenayah teknologi, Surachate Hakparn.
Katanya, semua remaja terbabit didorong supaya menunjukkan gambar masing-masing sebelum datang dan kemudian dipaksa melakukan hubungan seks, sebaik tiba dan mengetahui dia bukan lelaki seperti dalam profil.
“Kami mempunyai bukti dia merogol semua kanak-kanak lelaki ini, semuanya kira-kira 75 orang.
“Kami mempunyai bukti jelas dan dia sudah mengaku,” kata Surachate, hari ini, sambil menambah suspek sudah ditahan dan dituduh, semalam.
Lelaki itu didakwa menjalankan serangan seks selama empat tahun dan pihak berkuasa menerima aduan menerusi maklumat di laman Facebook jawatankuasa jenayah teknologi. – AFP/BH ONLINE