KEDUDUKAN Islam di Malaysia di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) semakin terpinggir dan terjejas kerana secara berperingkat, tafsiran baharu yang merendahkan kedudukan agama Islam dilaksanakan oleh kerajaan dan penyokongnya.
Senarai tindakan yang mereka tunjukkan sejak masih berperanan sebagai pembangkang sudah sepatutnya menggusarkan umat Islam.
PH dan seluruh rangkaian sokongan mereka sudah menunjukkan ideologi liberal pegangan mereka yang mahu mereka paksakan ke atas semua rakyat Malaysia termasuk majoriti orang Melayu beragama Islam.
Kenyataan-kenyataan pemimpin mereka semasa sebagai pembangkang lagi sudah mendedahkan sikap mereka terhadap kedudukan Islam, raja-raja Melayu dan hak istimewa Melayu.
Maka isu hasrat meratifikasi konvensyen ICERD hanyalah salah satu manifestasi pelaksanaan agenda besar mereka mengubah sifat Malaysia yang berlandaskan Islam dan Melayu.
Walaupun tanpa ICERD, agenda mereka sudah dilaksanakan sejak menawan Putrajaya pada Mei lalu, yang bertujuan melemahkan Islam di Malaysia.
Kenyataan Pejabat Perdana Menteri bahawa Malaysia tidak akan meratifikasi ICERD tidak boleh diterima begitu sahaja kerana konvensyen ini hanyalah satu bahagian daripada agenda besar mereka.
Maka tindakan Ummah meneruskan perhimpunan pada 8 Disember nanti ialah satu tindakan yang tepat kerana menghentikannya hanya menunjukkan umat Islam terperangkap, dan dipaksa menari mengikut rentak kerajaan PH.
Tindakan mengeluarkan kenyataan itu pun dibaca sebagai usaha untuk meredakan kemarahan dan juga untuk melemahkan momentum perhimpunan untuk menunjukkan penyatuan dan menyatakan sikap ini.
Ini jelas kerana sejurus kenyataan dikeluarkan, PH dan seluruh tentera sibernya meremehkan usaha meneruskan himpunan 8 Disember yang dituduh hanya menangguk di air keruh, yakni mempolitikkan ICERD untuk kepentingan peribadi.
Mereka memaksa semua menerima berita palsu mereka, yang mendakwa kerajaan sudah menolak ICERD, dan pembangkang tidak perlu memprotes lagi. Mereka mahu menutup isu ICERD yang mencetuskan kemarahan pada PH.
Atas sebab inilah bukan sahaja protes 8 Disember perlu diteruskan, tetapi kritikan terhadap agenda meliberalkan Malaysia mesti diteruskan, dan tidak dihadkan atau ditumpukan pada ICERD sahaja.
Maka atas sebab inilah, agenda penyatuan dan kerjasama antara umat Islam merentasi fahaman politik wajib diteruskan, dan perhimpunan 8 Disember dijadikan satu daripada titik permulaan usaha membela agama dan bangsa ini. – Mynewshub.tv