GEORGE TOWN – Siasatan polis berhubung kejadian tanah runtuh di Bukit Kukus, Paya Terubong dekat sini pada 19 Okt lepas yang mengorbankan sembilan nyawa pekerja asing telah hampir selesai, kata Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Seri A. Thaiveegan.
Beliau berkata hasil siasatan kejadian itu akan dikemukakan kepada pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri dalam beberapa hari lagi untuk tindakan selanjutnya.
“Sehingga semalam seramai 70 saksi terdiri daripada mangsa, keluarga mangsa, kalangan pihak kontraktor projek, subkontrator dan pakar-pakar berkaitan serta petugas beberapa agensi kerajaan yang terlibat dalam projek itu telah direkodkan keterangan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Kejadian tanah runtuh di tapak projek jalan berkembar Bukit Kukus pada pukul 1.56 tengah hari itu turut mengakibatkan empat rakyat asing cedera, manakala seorang lagi dilapor hilang.
Sementara itu, Thaiveegan berkata seramai 500 pegawai dan anggota polis akan bertugas mengawal lalu lintas dan ketenteraman awam sepanjang program 2nd Bridge Fun Ride Solidarity Polis Diraja Malaysia 2018 yang diadakan di Jambatan Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah, Jumaat ini.
Beliau berkata pegawai dan anggota polis terlibat akan ditempatkan di beberapa lokasi yang telah dikenalpasti antaranya di jalan atau laluan ditutup serta dilencongkan bagi membantu menunjuk arah kepada pengguna jalan raya agar mereka dapat meneruskan perjalanan dengan lancar.
“Jambatan Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah akan ditutup bermula 10 malam berkenaan hingga 5 pagi keesokannya bagi memberi laluan kepada peserta mengambil bahagian untuk berkayuh basikal sejauh 56 kilometer, selain itu beberapa jalan juga akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat.
“Saya harap pengguna jalan raya dapat merancang perjalanan mereka dan mematuhi arahan polis bertugas bagi melancarkan perjalanan,” katanya.
Beliau berkata program yang memasuki tahun kedua penganjurannya itu akan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim. – BERNAMA