SYUKUR… “Alhamdulillah… sokongan akar umbi tetap teguh…” itu kata ringkas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menerusi laman sosial Facebook beliau semalam.
Ia malahan jelas papar gambar kemeriahan apabila ramai berpeluang hadir pada pertemuan beliau dengan barsan kepimpinan parti dan ahli UMNO Negeri Sembilan di Rantau pada Selasa.
Sesiapa sahaja yang hadir pada Majlis Bersama Presiden UMNO itu dapat rasai sendiri suasana parti tersebut tidak terjejas langsung dengan segala macam ‘huru-hara’ dalaman serta kes mahkamah satu demi satu pemimpinnya.
Pertemuan berkenaan adalah dalam siri jelajah Ahmad Zahid bersama-sama pimpinan parti ke seluruh negara kebelakangan ini.
Turut hadir, Timbalan Presiden UMNO yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Siri jelajah tersebut sebenarnya sudah bermula di Terengganu kemudian Kelantan, diikuti Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan terbaharu Negeri Sembilan. Majlis di semua negeri itu setakat ini berlangsung dengan jayanya.
Sementara itu Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan dalam ucapan beliau menyuarakan hasrat ahli-ahli negeri berkenaan mahukan UMNO terus bangkit.
“Manifestasi UMNO Negeri Sembilan yang mahu bangkit, yang mahu melihat parti ini yang tercabar, yang kalah di Negeri Sembilan, kita perlukan tiga kerusi, kalau menang dua, kita seri tetapi jika tiga, kita akan tubuh kerajaan.
“Walaupun tewas, kita akan pastikan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, kita rampas kembali Negeri Sembilan. Pedulikan parti lain DAP, PKR, PPBM mereka semua hanya tahu berjanji tetapi tidak mampu laksanakannya.
“Hanya tahu membuatkan orang terpesona,” ujarnya. Ini kerana kata Mohamad yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan, UMNO yang sudah lama mentadbir lebih dipercayai kredibilitinya.
“UMNO telah lama mentadbir dan tahu apa yang kita buat, macam-macam kita tolong. Cuba lihat belanjawan baru-baru ini, adakah (bantuan) untuk kampung?” soal beliau sambil disahut audien, tiada!
Ahmad Zahid pada sidang akhbar selepas majlis itu kata UMNO hari ini melancarkan jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau sebagai persediaan sekiranya PRK itu diadakan.
Dalam PRU Ke-14 pada Mei lalu, Mohamad menang tanpa bertanding kerusi itu selepas calon PKR, Dr. S. Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon ekoran tidak miliki pas yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.
Berikutan itu, Streram memfailkan petisyen di mahkamah di Seremban bagi memohon PRK DUN tersebut diadakan semula dan kes tersebut masih berjalan
Ahmad Zahid memberitahu jentera PRK ditubuhkan bagi melancarkan gerak kerja parti di peringkat akar umbi sekiranya mahkamah memutuskan untuk mengadakan PRK DUN berkenaan.
“Meskipun setakat ini mahkamah belum ada keputusan terhadap petisyen pilihan raya DUN Rantau, kita bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.
“Lagipun rata-rata yang hadir pada hari ini adalah akar umbi parti dari Rembau, jadi pelancaran jentera itu amat sesuai dilakukan hari ini,” tegas Ahmad Zahid. – Agensi/Mynewshub.TV