KULIM – Anggota bomba mengambil masa kira-kira 45 minit untuk mengawal kebakaran di sebuah stesen injap Petronas M417 Lunas, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, gas metana yang dilepaskan di sebatang paip pelepasan gas di stesen injap itu dikesan terbakar.
Bagaimanapun kawasan itu tidak mempunyai penempatan penduduk dan berlaku dalam kawasan ladang kelapa sawit.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim, Penolong Penguasa Bomba Hamizul Azwan Hamdan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8.35 malam dan tiba di lokasi jam 8.47 malam.
Beliau berkata, operasi disertai seramai enam anggota termasuk penyelia bersama sebuah jentera dan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Kulim serta bantuan dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lunas.
“Setibanya di lokasi, didapati api sedang marak dan operasi pemadaman dilakukan untuk mengawal api daripada terus merebak.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.15 malam dan dipadam sepenuhnya pada jam 10 malam tadi,” katanya.
Hamizul Azwan berkata, kebakaran itu tidak membabitkan mangsa, kecederaan atau kemalangan jiwa. – BH ONLINE