JOHOR BAHRU – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini bertitah walaupun barisan kepemimpinan negeri telah bertukar, namun, tugas dan tanggungjawab membangunkan Johor untuk rakyat mesti kekal menjadi agenda utama kerajaan.
Sultan Ibrahim bertitah sebagai pemerintah dan ketua negeri, baginda juga diberikan hak serta kuasa dalam Perlembagaan negeri untuk melantik Menteri Besar dan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam kalangan wakil rakyat yang dipilih.
“Sebagai orang yang melantik, saya juga bertanggungjawab untuk memantau dan memastikan orang yang saya lantik itu benar-benar menjalankan tugas dengan baik, jujur dan amanah demi kepentingan kerajaan serta rakyat negeri Johor.
“Jika ada Ahli Exco yang gagal menjalankan tugas dengan memuaskan, maka saya akan berbincang dengan Menteri Besar untuk mengambil tindakan sewajarnya, termasuk menggantikan dengan Ahli Exco yang baharu,” titah baginda pada Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-60 di Dewan Singgahsana, Istana Besar, di sini hari ini.
Teks titah Sultan Ibrahim itu diedar kepada media menerusi pejabat media dan komunikasi rasmi keluarga diraja Johor, Royal Press Office (RPO).
Sultan Ibrahim bertitah, setiap anggota exco juga mestilah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Menteri Besar dan sentiasa bertindak sehaluan sebagai satu pasukan, bukannya mementingkan diri sendiri atau mengikut parti politik yang diwakili.
“Jangan jadi seperti duri dalam daging,” titah baginda.
Selain itu, titah baginda agar segala projek pembangunan yang dilaksanakan juga mesti dilaksanakan mengikut keperluan rakyat dan negeri dan bukannya di atas desakan atau kepentingan pemimpin politik.
“Sebagai contoh, program ‘Bas Muafakat Johor’ yang menyediakan pengangkutan bas awam secara percuma kepada rakyat adalah program yang amat baik dan mesti diperluaskan, dan tidak perlulah menukar nama program tersebut kepada ‘Bas Harapan Johor’.
“Saya juga menyeru supaya kualiti perkhidmatan awam di negeri ini dipertingkatkan dengan melaksanakan pengurusan yang profesional dan bebas daripada ikatan politik. Saya percaya, sekiranya semua pihak bersikap terbuka dan tidak mempunyai agenda peribadi, pentadbiran negeri akan berjalan dengan lebih sempurna dan kehidupan rakyat akan lebih sejahtera,” titah baginda.
Terdahulu, istiadat sambutan ulang tahun keputeraan baginda dimulakan dengan Majlis Doa Kesyukuran di Dewan Cina Istana Besar oleh Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad sebelum Sultan Ibrahim memeriksa barisan kehormat Askar Timbalan Setia Negeri (JMF).
Istiadat diteruskan dengan Majlis Terimaan iaitu Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Sultan Ibrahim menyembah ucap selamat dan memperbaharui ikrar taat setia bagi pihak kerabat diraja Johor dan Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian menyembah ucap selamat bagi pihak kerajaan dan rakyat.
Sultan Ibrahim kemudian bertitah sebelum istiadat diteruskan dengan Majlis Mengadap Takzim dan diakhiri dengan Majlis Penganugerahan Darjah dan Pingat.
Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Johor adalah pada 23 Mac setiap tahun, namun, sambutan pada tahun ini telah ditangguhkan di atas sebab Pilihan Raya Umum (PRU) 14 dan kegeringan bonda tuanku, Almarhumah Yang Amat Mulia Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah.
Sultan Ibrahim berkenan istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda yang ke-60 yang ditunda itu diadakan pada hari ini. – BERNAMA