JOHOR BAHRU – Teguran Sultan Johor yang mahukan setiap anggota exco negeri memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Menteri Besar dalam membangunkan negeri ini adalah sekadar peringatan kepada mereka.
Menegaskan demikian, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri Mazlan Bujang berkata teguran itu bukanlah bermakna ada masalah sedang berlaku antara Osman dan exco, seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak.
“Cuma peringatan sahaja. Desas desus sebegini perkara biasa dalam politik tetapi kami (exco) terutamanya saya dan MB bukan baru kenal. Kita dah kenal lama dalam politik. Propaganda dan sebagainya, biasa,” katanya.
Beliau yang ditemui pemberita selepas Program Back To School Senai-Desaru Expressway Berhad (SDE) di Angsana Mall di sini hari ini, mengulas titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sempena Majlis Istiadat Sambutan Ulang Tahun Keputeraan baginda ke-60, Sabtu lalu.
Dalam titahnya itu, Sultan Ibrahim berharap tiada exco akan ‘menjadi seperti duri dalam daging’ dan jika ada exco yang gagal menjalankan tugas dengan memuaskan termasuk tidak jujur dan amanah maka baginda akan berbincang dengan Menteri Besar untuk mengambil tindakan sewajarnya, termasuk menggantikan dengan Ahli Exco yang baharu.
“Saya amat menyokong sebab kita kerajaan Pakatan Harapan, kerajaan yang akan bertindak sebaik-baiknya untuk menjadi kerajaan yang bersih,” kata Mazlan.
Mengulas tentang ‘ketidaksenangan hati’ sesetengah parti komponen Pakatan Harapan berhubung penerimaan tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) bebas ke dalam PPBM, dua hari lepas, Mazlan berkata ia hanya isu kecil.
“Saya ingat ia hanya minor problem dan akan dapat diselesaikan dengan baik. Sebenarnya perbezaan sedikit pendapat itu perkara biasa dalam gabungan-gabungan parti,” katanya yang juga Bendahari PPBM Negeri.
Sementara itu, program SDE yang kali kedua diadakan itu memberi manfaat kepada 45 murid dari Sekolah Kebangsaan Cahaya Baru, Masai di sini untuk membeli barangan kelengkapan sekolah mereka. – BERNAMA