UMNO Bahagian Rembau berterima kasih kepada PAS kerana tidak letak calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang bakal diadakan dalam tempoh terdekat.
Perkara tersebut diluahkan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin sambil berkata, langkah berkenaan dapat membantu BN supaya tidak berlaku perpecahan undi ekoran pertembungan tiga parti besar.
Kata beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau, buat masa ini pihaknya sedang bekerja kuat memastikan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau.
“DUN Rantau bukanlah tempat yang agak asing bagi saya dan Tok Mat (nama mesra Mohamad) sendiri, jadi kita berharap sokongan pengundi akan terus diberikan kepada beliau untuk kekal menjadi ADUN di kerusi berkenaan.
“Terima kasih kepada PAS kerana memilih tidak bertanding di Rantau dan saya harap pengundi-pengundi PAS juga akan memberi sokongan penuh kepada Mohamad nanti,” kata Khairy kepada media di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan pada Sabtu minggu lalu bahawa parti itu buat ketetapan sedia bantu Mohamad dengan tidak bertanding pada PRK di kerusi ‘kubu tradisi’ UMNO tersebut.
Pada 16 November lalu, Mahkamah Tinggi Seremban memutuskan kemenangan Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan di kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 sebagai batal dan tidak sah.
Keputusan dramatik tersebut dibuat oleh Hakim Datuk Azimah Omar yang turut memutuskan PRK DUN Rantau perlu diadakan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya dengan serta merta. – Agensi/Mynewshub.TV