PORT DICKSON – Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pengundi di sekitar Linggi yang telah membantu kemenangannya semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson 13 Okt lepas.
Ketua Umum PKR itu meluangkan masa lebih kurang satu jam bersama kira-kira 600 penduduk di sini dalam Majlis Makan Malam bersama Jentera, Persatuan-Persatuan & Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi.
“Ini merupakan program keempat saya di Port Dickson selepas menjadi anggota parlimen. Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan PRK yang lepas, kepada penduduk dan jentera-jentera parti,” katanya.
Turut hadir Datuk Danyal Balagopal Abdullah yang meletakkan jawatannya sebagai Anggota Parlimen Port Dickson untuk memberikan laluan kepada Anwar untuk kembali ke Dewan Rakyat menerusi PRK itu.
Dalam ucapannya, Anwar turut berjanji akan membawa perubahan ke daerah ini dalam masa singkat. – BERNAMA