KUCHING – Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari mempelawa masyarakat serantau dan antarabangsa untuk berdialog dengan kerajaan negeri bagi bersama meneroka peluang-peluang baharu.
Abang Johari berkata kerajaan negeri memberi jaminan kepada dunia bahawa Sarawak menawarkan banyak peluang dan ini telah terbukti dengan prestasi baik kerajaan negeri sejak bertahun-tahun.
Beliau berkata Sarawak telah mengalami kadar pertumbuhan KDNK sebanyak 4.7 peratus pada 2017, lebih daripada dua kali ganda kadar pertumbuhan sebanyak 2.3 peratus tahun sebelumnya, menjadikan Sarawak ekonomi ketiga terbesar di belakang Kuala Lumpur dan Selangor, menyumbang kepada 9.7 peratus daripada KDNK nasional Malaysia .
“Sarawak mempunyai KDNK per kapita sebanyak RM 49,327 peningkatan dari RM44,000 pada 2016. Dengan kemajuan ini, Sarawak berada pada landasan untuk mencapai sasaran 2020 pertumbuhan KDNK sebanyak 4.7 peratus mengikut MIDF Research.
“Sarawak juga mempunyai kadar inflasi terendah pada kadar tiga peratus dan kadar pengangguran sebanyak tiga peratus, peningkatan daripada 3.3 peratus pada 2016 manakala kadar kemiskinan turun dari 0.9 peratus pada 2014 kepada 0.6 peratus pada 2017, “katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai Sarawak dan ASEAN, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Naib Pengerusi Eksekutif Institut KASI, Tan Sri Dr Michael Yeoh.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata penduduk Sarawak dianggarkan pada 2.79 juta, 42 peratus adalah glongan belia yang mempromosikan prospek jangka panjang dari segi bakat modal insannya.
“Hakikatnya , Sarawak mempunyai tenaga buruh sebanyak 1.29 juta pekerja. Perolehan bagi negeri ini terus bertambah baik, mencatatkan hasil sebanyak RM6.86 bilion pada tahun 2017 berbanding RM5.91 bilion pada tahun sebelumnya dengan hampir satu bilion peningkatan hasil.
“Eksport juga meningkat daripada RM77 bilion pada 2016 kepada RM96 bilion 2017. Kemajuan ini jelas, bukti asas yang kukuh dalam ekonomi dan tadbir urus kita, banyak kredit kepada pendahulunya, namun kita menyedari bahawa lebih banyak dapat dan perlu dilakukan , “katanya.
Abang Johari berkata untuk mempercepatkan lagi pembangunan di Sarawak, kerajaan negeri telah meningkatkan perbelanjaan pembangunannya daripada RM3.92 bilion pada 2016 kepada RM4.29 bilion pada 2017, peningkatan sebanyak RM370 juta, menunjukkan komitmen kami untuk meningkatkan infrastruktur dan potensi negeri.
“Dan saya tidak keberatan memberitahu hari ini bahawa Bajet Negeri yang akan saya tentukan di Dewan Undangan Negeri pada 5 Nov akan menjadi bajet terbesar di negeri ini untuk Sarawak. Ia akan menjadi belanjawan rekod yang akan menjadi bukti komitmen kami untuk memenuhi aspirasi rakyat kita untuk mendapatkan lebih banyak jalan dan jambatan untuk meningkatkan kesalinghubungan dan meningkatkan liputan bekalan air bersih dan elektrik, “katanya.
Abang Johari berkata kerajaan negeri menyedari keperluan untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang sesuai untuk semua pelabur dan perniagaan untuk membolehkan mereka berkembang maju.
“Memang, kita sering memerlukan dorongan atau jalan untuk merangsang pertumbuhan. Oleh sebab itu, agensi pembangunan negeri kita, Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) telah dibentuk sepuluh tahun lalu.
“Ia telah memasuki fasa kedua pembangunannya. Setakat ini, ia telah menarik kira-kira RM79.3 bilion pelaburan dari sektor swasta dan awam, dengan pelaburan swasta dalam 22 projek dari pelbagai industri berjumlah RM33.6 bilion sepanjang lima titik pertumbuhannya, mewujudkan 61,000 pekerjaan, “katanya.
Abang Johari berkata kejayaan SCORE telah menyaksikan pengembangannya daripada 70,000 kilometer persegi kepada 100,000 kaki persegi tahun ini, dengan industri pencetusnya dalam aluminium, keluli, berasaskan minyak dan kaca telah menarik industri kluster dari seluruh rantau ini. – BERNAMA