PUTRAJAYA – Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Marzuki Yahya akan memimpin delegasi Malaysia ke Sesi ke-18 Majlis Menteri-Menteri D-8 yang akan diadakan di Antalya, Turki mulai esok.
Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata Marzuki dijadual menyampaikan kenyataan negara semasa mesyuarat itu.
“Mesyuarat itu antara lain akan mempertimbangkan dan mengesahkan Hala Tuju D-8 Bagi Dekad 2020-2030, yang akan menggantikan Hala Tuju Kuala Lumpur 2008-2018,” menurut kenyataan itu.
Menurut Wisma Putra, Hala Tuju Sedekad D-8 itu mengesahkan lagi komitmen negara-negara anggota terhadap objektif dan kerangka kerjasama D-8 dalam merangka arah strategik D-8 dalam dekad yang akan datang.
“Para Menteri akan mengadakan perbincangan bagi memperkukuhkan kerjasama dalam enam bidang utama – perdagangan kerjasama industri dan perusahaan kecil dan sederhana, pertanian dan keselamatan makanan, pengangkutan, tenaga dan mineral serta pelancongan serta jalan ke hadapan untuk negara-negara anggota D-8, ” menurut Wisma Putra lagi.
Kenyataan itu menambah, Sidang ke-18 Majlis Menteri D-8 itu akan didahului oleh Sesi ke-41 Suruhanjaya D-8 pada 1-2 November 2018. – BERNAMA