KOTA BHARU – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melahirkan rasa puas hatinya terhadap persediaan menghadapi banjir di tiga negeri di Pantai Timur ketika musim tengkujuh nanti.
Beliau berkata ini dapat dilihat melalui taklimat setiap agensi yang menunjukkan tahap kesiapsiagaan masing-masing bagi menghadapi bencana itu.
“Alhamdulillah mereka telah bersedia untuk menggerakkan jentera penyelamat pada bila bila masa sahaja.
“Saya hari ini juga telah melihat tahap kesiapsiagaan agensi di Kelantan dan saya memang puas hati,” katanya ketika Mempengerusikan Mesyuarat Persediaan Menghadapi Banjir di Negeri-negeri Pantai Timur di Bilik Gerakan Negeri Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Wan Azizah juga bersetuju jika kerajaan negeri lain mencontohi negeri Pahang yang membekukan aktiviti pembalakan ketika musim tengkujuh bagi mengelak bencana yang lebih buruk daripada berlaku.
Wan Azizah berkata apa yang dilakukan kerajaan Pahang itu adalah sangat baik dan perlu diikuti oleh negeri lain bagi mengurangkan kesan banjir akibat pembalakan.
Ketika ditanya adakah beliau akan mencadangkan perkara itu kepada negeri lain, Wan Azizah sekiranya ia baik untuk faedah rakyat akibat bencana itu, ia adalah sesuatu yang wajar dicontohi.
Beliau menggesa kerajaan negeri dengan kerjasama agensi terlibat agar mengambil langkah-langkah penguatkuasaan kegiatan pembalakan haram untuk mengurangkan hakisan tanah di hulu sungai yang menyebabkan sungai menjadi cetek.
“Semua pihak berkaitan mesti memantau dan menguatkuasa dengan lebih baik sebarang pembangunan di tebing atau di lereng bukit,”katanya.
Beliau berkata pada mesyuarat itu juga diputuskan untuk membekukan cuti kepada anggota penyelamat bila berlakunya banjir.
Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat pula diingatkan untuk memastikan depoh dan pangkalan hadapan serta pusat pemindahan telah sedia diaktifkan.
“Segala kelengkapan di depoh dan pangkalan hadapan mesti sempurna dan tersedia kelengkapan barangan kerana banjir boleh berlaku pada bila-bila masa,”katanya.
Menyentuh mengenai bantuan banjir terhadap penduduk terjejas nanti, Wan Azizah berkata bantuan wang ihsan sebanyak RM500 kepada ketua isi rumah akan diteruskan seperti kelaziman.
Menurutnya sehingga kini bantuan wang ihsan yang telah dibayar pada sehingga 19 Okt 2018 bagi negeri Kelantan adalah berjumlah RM4.4 juta, Terengganu (RM1.8 juta) dan Pahang (RM1.7 juta).
Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan telah meluluskan peruntukan RM320,000 kepada tiga negeri Pantai Timur itu bagi perbelanjaan sekretariat jawatankuasa bantuan bencana dan perbelanjaan operasi jawatankuasa pengurusan bencana daerah.
“Di Kelantan menerima RM110,000, Terengganu RM90,000 dan Pahang RM120,000,”katanya.
Wan Azizah juga turut menasihati orang ramai untuk lebih berwaspada untuk menghadapi bencana banjir bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.
Menyentuh mengenai Belanjawan 2019 yang diumumkan Menteri Kewangan. Lim Guan Eng pada Jumaat, Wan Azizah menafikan dakwaan kononnya kerajaan Pusat menganaktirikan peruntukan terhadap negeri-negeri di Pantai Timur.
“Tidak perlu mana-mana pihak membuat andaian yang tidak benar terhadap belanjawan itu,”katanya. – BERNAMA