BRUSSELS, (Belgium) – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjayakan promosi masakan Perlis di sini malam tadi bagi memperkenalkan keenakan masakan negeri itu di samping menonjolkan destinasi pelancongan.
Promosi itu adalah kegiatan sampingan UniMAP yang kini dalam rangka program Jelajah Ilmu Siri ke 14 yang bermula di Poland sejak 19 November lalu.
Delegasi yang diketuai Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP tiba di sini semalam bagi meneruskan program di Belgium termasuk melawat institusi pengajian tinggi dan meninjau industri tertentu yang dikaitkan dengan keperluan kepakaran kejuruteraan.
Turut mengiringi baginda ke Brussels dalam program ‘Jelajah Ilmu UniMAP’ pada kali ini ialah Naib Canselor, Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal.
Pada promosi itu para pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) unversiti itu membuktikan bakat dan kebolehan mereka dengan persembahan tarian Canggung, Ayam Didik dan Zapin yang ternyata memukau duta-duta besar yang turut menjadi tetamu.
Majlis berlangsung di Rumah Malaysia yang juga kediaman rasmi Duta Besar Malaysia ke Belgium, Datuk Hasnuddin Hamzah.
Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika bertitah selepas majlis itu berharap kawasan Chuping yang terkenal dengan tanaman mempelam diperkasakan sebagai ‘super fruit valley’ kerana tanahnya yang dikatakan sesuai dengan tanaman bernilai tinggi seperti pokok tin dan pokok zaitun.
Setakat ini ladang harumanis yang dimiliki oleh Jabatan Pertanian Perlis, Felda, dan UiTM Perlis serta penanam perseorangan telah menikmati pendapatan yang tinggi daripada komoditi itu.
Baginda yakin jika tanaman bernilai tinggi dimajukan secara bersungguh-sungguh, ia akan menjadi menjadi produk ikonik agro-pelancongan di Perlis.
Berangkat sama anakanda kedua Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan antara tetamu yang hadir ialah para perwakilan asing di Belgium termasuk Indonesia, Thailand, Filipina dan New Zealand serta pars usahawan sekitar Brussels. – BERNAMA