SHAH ALAM – Universiti awam dan swasta disaran menjadi agen penggerak bagi menyemarakkan lagi kempen membaca dalam kalangan warga masing-masing dengan mewujudkan suasana pembacaan yang meriah dan mampu melawan budaya hidup yang biasa-biasa sahaja atau ‘mediocre’.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek berkata antara inisiatif yang boleh dilakukan adalah memperbanyakkan program bedah buku, bual bicara tentang karya tersohor, wacana serta debat mengenai buku yang mengandungi pemikiran-pemikiran tinggi.
“Suasana membaca yang meriah mampu melawan budaya hidup ‘mediocre’ iaitu budaya hidup pertengahan yang penuh dengan hiburan serta bahan-bahan popular yang langsung tidak mendidik dan langsung tidak menjadikan mahasiswa sebagai golongan berkualiti .
“Biar orang yang tidak membaca merasa kekok kerana tidak membaca seperti mana orang yang tidak mempunyai akaun Facebook merasa kekok melihat orang lain mempunyai akaun Facebook,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran Program Read@Uni Institusi Pendidikan Tinggi di Dewan Agong Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara, di sini hari ini.
Jelas Maszlee,Malaysia tidak tersenarai dalam kelompok negara membaca lebih lima jam seminggu kerana rata-rata rakyat kini hanya meluangkan masa lingkungan tiga jam seminggu untuk membaca.
Bagaimanapun beliau yakin, dengan kempen dan kerjasama tersusun daripada semua pihak termasuk pelancaran program hari ini, tahap pembacaan masyarakat mampu ditingkatkan kepada lebih 10 jam pada masa depan.
Bercakap kepada media selepas itu, Maszlee berkata signifikan program berkenaan kepada mahasiswa adalah bagi memupuk golongan tersebut untuk menjadikan membaca sebagai suatu cara hidup, dan bukan sekadar untuk lulus peperiksaan semata-mata.
“Kita mahu pelajar bawa budaya membaca ini bukan saja dalam kerangka universiti tetapi kita nak mereka sebar luaskan virus membaca kepada seluruh masyarakat sehingga dapat menjadikan rakyat Malaysia sebagai masyarakat membaca dunia,” katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan.
Program Read@Uni yang julung kali dianjurkan itu adalah antara inisiatif Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia dalam memperkasa budaya membaca dalam kalangan warga institusi itu dan seterusnya mendokong kempen Dekad Membaca Kebangsaan (2021-2030) yang dijangka dilancarkan tahun depan. – BERNAMA