KUALA LUMPUR – Datuk Seri S. Vell Paari hari ini dilantik sebagai Setiausaha Agung MIC yang baharu bagi menggantikan Datuk S. Rajagopal.
Pelantikan tersebut diumumkan oleh Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) di ibu pejabat MIC, di sini.
Vigneswaran turut mengumumkan dua lagi pelantikan tertinggi iaitu Datuk M.S. Amrit Kaur sebagai Bendahari Agung menggantikan Vell Paari dan V. Gunalan sebagai Ketua Penerangan parti menggantikan Datuk V.S. Mohan.
Vell Paari dan Amrit Kaur juga merupakan antara sembilan yang dilantik menerusi kuasa presiden untuk menyandang jawatan CWC.
Vigneswaran turut mengumumkan pelantikan tujuh pengerusi MIC negeri yang baharu manakala di tiga lagi negeri iaitu di Perlis, Perak dan Pulau Pinang, S. Vengadasamy, Datuk V. Elango dan Datuk M. Nyanasegaran kekal sebagai pengerusi.
“ Bagi Pahang, pengerusi MIC negeri adalah V.P. Arumugam, Datuk G.R. Kannan (Melaka), M. Rajandran (Selangor), R. Vidyananthan (Johor), Senator Datuk Dr S. Ananthan (Kedah), S. Rajah (Wilayah Persekutuan) dan Datuk M. Veloo (Negeri Sembilan),” katanya. – BERNAMA