PORT DICKSON – Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencabul seorang cucu perempuan tirinya di sebuah rumah di Lukut dekat sini, tiga tahun lepas.
Lelaki berumur 68 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Khairiah Abd. Razak.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap cucu perempuannya yang semasa kejadian berumur 4 tahun, dengan maksud mencabul kehormatannya, di sebuah rumah di Lukut di sini antara Januari hingga Jun 2015.
Timbalan Pendakwa Raya, A.Ashwini mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Ashwini memohon agar mahkamah mengenakan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan agar tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga perbicaraan selesai.
Dalam rayuannya, warga emas itu yang tidak diwakili peguam memohon kepada mahkamah agar dikenakan wang jaminan yang minimum.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan tersebut selain menetapkan 17 Dis ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Berdasarkan laporan media sebelum ini, kanak-kanak perempuan itu meninggal dunia akibat ditendang pada dada oleh ibu tirinya berumur 43 tahun dalam kejadian di Lukut di sini pada 7 Ogos 2015.
Pada April 2017, Mahkamah Tinggi Seremban menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap wanita itu kerana didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat terhadap mangsa.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada November tahun sama menambah hukuman penjara kepada 15 tahun terhadap bekas operator pengeluaran wanita terbabit berhubung kesalahan sama. – BERNAMA
*Sekadar Video Hiasan..