GEORGE TOWN – Penjara Seberang Perai (PSP) mencari anggota keluarga atau waris kepada banduan lelaki yang meninggal dunia 8 November lepas namun sehingga hari ini mayatnya belum dituntut.
Pengarah PSP Husin Johari berkata Abdul Aziz Mohamad, 65, dan beralamat terakhir di 417 A Chulia Street, di sini meninggal dunia di Hospital Sungai Bakap (HSB), Nibong Tebal pukul 7.06 pagi pada 8 November lepas.
“Pihak PSP telah cuba mengesan anggota keluarga si mati namun tidak berjaya dan sehingga hari ini mayat lelaki itu ditempatkan di Unit Forensik HSB kerana tiada sesiapa yang menuntut jenazahnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata sehubungan itu, pihaknya memohon kerjasama orang ramai yang mengenali anggota keluarga atau waris si mati agar menghubungi pihak PSP di talian 04-5858888 bagi proses menuntut jenazah atau pengebumian mayat itu. – BERNAMA