IPOH – Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming hari ini mengesahkan wujud konspirasi untuk menjatuhkan kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Nga berkata ia berdasarkan pendedahan Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri Asmuni Awi yang mendakwa terdapat pemimpin UMNO Perak menawarkan beliau jawatan Menteri Besar selain dipelawa meninggalkan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan baharu.
“Malah, bekas Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam satu sidang media semalam mendakwa usaha (menjatuhkan kerajaan negeri) itu memang berlaku.
“Maka, saya sahkan ada usaha untuk menjatuhkan kerajaan negeri Perak,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 124 (B) Kanun Keseksaan kerana menghasut selain cuba menggulingkan kerajaan tanpa mengikut sistem demokrasi dan Seksyen 124C Kanun Keseksaan atas dakwaan cuba melakukan aktiviti yang boleh menjejaskan demokrasi berparlimen. ` — LAGI
Nga berkata Ketua Sekretariat PH Perak V. Sivakumar akan membuat laporan polis terhadap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad dan Zambry dalam masa terdekat.
Semalam, Asmuni dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook miliknya mendedahkan terdapat pemimpin UMNO Perak yang menawarkan jawatan Menteri Besar kepadanya dalam satu pertemuan pada 1 Nov lepas.
Sebelum ini, media melaporkan UMNO Perak mendakwa wujudnya gerakan yang serius untuk menjatuhkan Ahmad Faizal oleh beberapa orang Exco Kerajaan Negeri menerusi usul undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN). Perkara itu didedahkan oleh Saarani dan mendakwa rancangan tersebut hendak dilaksanakan oleh beberapa exco berkenaan dengan cuba memujuk sekurang-kurangnya lima ADUN Barisan Nasional supaya menyokong usul undi tidak percaya yang akan dibuat di DUN. – BERNAMA