JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencadangkan kerajaan negeri Johor mewujudkan rumah perlindungan sementara untuk para gelandangan.
Menerusi catatan yang dimuat naik dalam laman Facebook baginda HRH Crown Prince of Johor, Tunku Ismail bertitah cadangan itu dikemukakan selepas mendapat perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
“Dengan restu Duli Yang Maha Mulia Tuanku, saya ada memberi cadangan kepada kerajaan negeri Johor supaya membina rumah perlindungan sementara (shelter) untuk para gelandangan. Ia perlu disediakan dengan bersistem dan mempunyai kelengkapan asas yang mencukupi,” titah Tunku Ismail menerusi catatan berkenaan hari ini.
Menurut Tunku Ismail, cadangan mewujudkan rumah perlindungan itu perlu disediakan di setiap daerah.
“Saya percaya dengan kajian yang lengkap, kerajaan negeri dapat merealisasikan projek ini. Bukan sahaja ‘shelter’ tetapi juga memberi peluang pekerjaan kepada mereka,” titah baginda.
Baru-baru ini, Tunku Ismail berkenan berangkat menyertai Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) untuk memberikan sumbangan bantuan kepada para gelandangan di sekitar bandar raya ini.
Gelandangan itu menerima sumbangan set barangan kelengkapan mandian, kelengkapan sanitari dan makanan. – BERNAMA