BERSATU… Satu upacara pecah tanah diadakan semalam bagi menandakan pelancaran projek untuk hubung semula rangkaian jalan raya dan kereta api antara Korea Utara dan Korea Selatan.
Upacara khas tersebut berlangsung meriah penuh warna-warni di Stesen Tren Panmun di Kaesong yang terletak berhampiran dengan sempadan bersama kedua-dua Korea berkenaan, menurut laporan pelbagai media tempatan.
Walaupun acara ini dianggap simbolik, ramai rakyat Korea Selatan dilaporkan meluahkan perasaan optimis tentang penyatuan semula Semenanjung Korea pada masa depan yang berpecah dua akibat gencatan senjata pada 1953.
Para pemimpin kedua-dua negara bersetuju pada April lalu untuk menghubungkan semula rangkaian jalan raya dan kereta api tempatan bagi merancakkan semula pembangunan dan kesejahteraan bersama Semenanjung Korea.
Upacara hari ini juga menandakan satu lagi detik bersejarah dalam usaha mengendurkan ketegangan antara kedua-dua negara Korea. Meskipun demikian, usaha kedua-dua negara terhambat akibat sekatan ke atas Korea Utara.
“Banyak yang perlu dilakukan sebelum kita boleh mulakan proses pembinaan,” kata Menteri Pengangkutan Korea Selatan, Kim Hyun-mee ketika ditanya pihak media negara berkenaan sebelum upacara tersebut berlangsung.
Barangan serta pelaburan yang diperlukan untuk memulakan binaan diharamkan di bawah sekatan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat ke atas Korea Utara berhubung program nuklear rejim Pyongyang.
Washington DC bertegas bahawa sekatan antarabangsa masih lagi perlu dikekalkan sehingga pemerintah Korea Utara bersetuju untuk melucutkan segala rancangan pertahanan senjata nuklearnya. – Agensi/Mynewshub.TV